Buletin

ISUZU HICOM SUMBANG 11 TRAK SOKONG TVET NEGARA

ISUZU HICOM MALAYSIA (IHM) menyerahkan sebanyak 11 buah trak Isuzu kepada tujuh institusi pendidikan teknikal dan vokasional di Pahang serta Terengganu bagi menyokong pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang automotif dan pengangkutan.

Sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu melibatkan model Isuzu ELF dan FORWARD yang akan digunakan sebagai bahan latihan praktikal di institusi terlibat.

Kenderaan tersebut bakal dimanfaatkan dalam pembelajaran berasaskan amali merangkumi kejuruteraan automotif, penyelenggaraan kenderaan, struktur komponen serta latihan pemanduan, sejajar usaha memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Ketua Pegawai Eksekutif IHM, Koshi Yamaguchi berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam membantu pembangunan bakat mahir untuk memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, pendekatan itu juga sebahagian daripada usaha syarikat menyumbang kembali kepada komuniti menerusi pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi pendedahan lebih praktikal kepada pelajar selain membantu institusi melahirkan graduan yang memiliki kemahiran selaras kehendak industri automotif dan pengangkutan,” katanya ketika majlis penyerahan di Pekan, Pahang.

Antara institusi yang menerima sumbangan ialah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC) Kuantan, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun, GIATMARA Pekan, Kolej Komuniti Pekan, Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahya Ahmad dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU).

Sementara itu, Naib Canselor DHU, Dr Sharoul Jambari menyifatkan sumbangan tersebut mampu memperkukuh pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang terlibat.

Katanya, penggunaan trak sebenar dalam latihan akan membantu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Dalam masa sama, program berkenaan turut menyokong agenda kelestarian IHM menerusi penggunaan semula kenderaan bagi memanjangkan kitaran hayat produk, sekali gus mengurangkan pembaziran serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi jangka panjang.

Google ads
Back to top button