Buletin

NISSAN KICKS HIBRID RASMI DI JEPUN – HADIR DENGAN VARIAN ROCK CREEK, JANA 208HP

Nissan akhirnya memperkenalkan generasi kedua Kicks untuk pasaran Jepun, kira-kira dua tahun selepas model itu terlebih dahulu dilancarkan di Amerika Utara.

Selain hadir dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan, versi Jepun turut membawa dua perbezaan utama berbanding model yang dipasarkan di rantau lain.

Paling ketara ialah penggunaan sistem hibrid e-Power Nissan, menggantikan enjin petrol 2.0 liter empat silinder yang digunakan sebelum ini.

Sistem tersebut menggabungkan satu atau dua motor elektrik, bergantung kepada sama ada varian pacuan depan (FWD) atau pacuan semua roda (AWD), bersama enjin 1.4 liter tiga silinder yang berfungsi khusus sebagai penjana kuasa untuk bateri lithium-ion.

Varian FWD menghasilkan sekitar 141hp, manakala versi AWD menawarkan kuasa sehingga 208hp. Nissan turut mendakwa penggunaan bahan api berjaya dikurangkan lebih 10 peratus berbanding Kicks generasi terdahulu, dengan purata anggaran sekitar 6.5 liter bagi setiap 100km.

Dari segi rekaan luaran, Kicks pasaran Jepun masih mengekalkan identiti yang hampir sama seperti model global.

Namun, Nissan turut memperkenalkan varian Rock Creek yang dibangunkan oleh divisyen Nissan Motorsports & Customize (NMC), memberi imej lebih lasak dan sesuai untuk gaya hidup aktif.

Bahagian hadapan menerima kemasan lebih gelap bersama rekaan bampar agresif, termasuk tiga bukaan kecil di atas gril yang diinspirasikan daripada Rogue Rock Creek.

Turut melengkapkan imej rugged ialah skid plate pada bampar depan, aksen merah Lava Red serta rim khas yang tampil lebih berkarakter.

Ruang kabin pula menerima sentuhan jahitan merah Lava Red bersama permukaan tempat duduk kalis air, menambahkan lagi elemen gaya pengembaraan.

Walaupun tampil lebih garang secara visual, Kicks Rock Creek di Jepun sebenarnya lebih tertumpu kepada penampilan.

Tiada perubahan ketara dari segi talaan suspensi atau peningkatan jarak kelegaan tanah, manakala tayar yang digunakan juga hanya menawarkan sedikit kelebihan untuk pemanduan off-road ringan.

Google ads
Back to top button