Buletin

LIGHTYEAR 0 – KERETA ELEKTRIK DENGAN PANEL SOLAR, TAK PERLU CAS SAMPAI TUJUH BULAN!

Beberapa tahun yang lalu, syarikat pemula Lightyear telah memperlihatkan sebuah kereta elektrik berkuasa solar Lightyear One, dan kini mereka tampil dengan versi produksi bagi model One, dinamakan sebagai Lightyear 0.

Dari segi luaran, ia membawakan perubahan pada bahagian lampu utama dan belakang, logo beriluminasi, rekaan pemegang pintu baharu, kamera sisi yang dialihkan ke bahagian fender depan dan rim aerodinamik dengan opsyen penambahan penutup.

Panel luar diperbuat daripada bahan sisa gentian karbon yang biasanya akan dibuang, sementara ruang kabin pula turut menempatkan penggunaan mesra alam, seperti contoh upholsteri kulit berasaskan tumbuhan, fabrik daripada botol PET yang dikitar semula, dan elemen kulit rotan.

Lightyear 0 menawarkan jarak operasi sejauh 625 km, di mana ia turut didatangkan dengan panel solar seluas lima meter persegi yang mampu menawarkan jarak tambahan 70 km setiap hari di bawah kondisi yang ideal, atau sehingga 11,000 km per tahun.

Namun, di dalam keadaan seperti cuaca mendung, panel solar Lightyear 0 masih lagi mampu menawarkan jarak sehingga 35 km.

Disebabkan rekaan yang aerodinamik (kadar pekali seretan 0.19 sahaja), kadar penggunaan tenaga 0 adalah sekitar 10.5 kWh untuk setiap 100 km.

Menurut Lightyear, berdasarkan kadar penggunaan purata 35 km/hari, model 0 ini tidak memerlukan pengecasan yang kerap, malah ia dikatakan mampu bertahan sehingga dua bulan atau tujuh bulan di negara yang panas terik.

Untuk mengecas bateri 60 kWh itu tadi boleh dilakukan di rumah (32 km untuk setiap jam pengecasan), pengecasan umum (200 km setiap jam) atau pengecasan pantas DC (520 km setiap jam), sementara pengecasan menggunakan solar pula mampu menambah jarak 10 km untuk setiap jam pengecasan.

Harga jualan bermula dari €250,000 (RM1.16 juta).

Google ads
Back to top button