
Buletin
RALLY OF ASAHAN 2024 – KARAMJIT SINGH MASIH LAGI UNGGUL UNTUK MENANG DI MELAKA
Hujung minggu baru ini telah pun selamat berlangsungnya perlumbaan penutup untuk siri Millenium Iconic Rally Championship (MIRC) Rally of Asahan. Jom kita baca apa yang menarik tentang perlumbaan yang berlangsung di kawasan ladang Kelapa Sawit di sekitar Felda Tun Ghafar dan Estate Nyalas.
- *Upacara perasmian telah diadakan pada sebelah petang hari Sabtu 21/12/2024 yang berlangsung dalam keadaan cukup meriah di perkarangan Pejabat Japerun Asahan Melaka dalam keadaan cuaca yang sedikit mendung dan redup.

- Rally of Asahan yang mendapat kerjasama baik daripada DUN Asahan serta Kerajaan Negeri Melaka ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Fairul Nizam Roslan selaku ADUN Asahan sendiri. Beliau sendiri tampaknya cukup seronok dan teruja dengan penganjuran MIRC ini. Malah, secara terbuka YB Datuk Fairul Nizam Roslan turut menyatakan hasrat untuk menawarkan diri untuk menjadi venue kepada perlumbaan Asia Pacific Rally Championship (APRC) di masa akan datang.
- Walau pun pada senarai awal peserta yang dikeluarkan ada dinyatakan penyertaan pemandu dari Indonesia berserta jentera Skoda Fabia Evo Rally2 namun kelibat jentera yang cukup dinantikan oleh peminat rali tempatan tidak menjadi kenyataan.

- Menurut sesi persembangan BK bersama Tuan Muhammad Rafiq jentera tersebut menghadapi masalah dengan dokumentasi yang mengakibatkan kegagalan jentera rali tersebut tidak berupaya untuk tiba dari waktu yang sepatutnya. Kata beliau, kita tunggu sahaja untuk Tim dari Indonesia hadir beraksi di Malaysia pada tahun hadapan.
- Perlumbaan Rally of Asahan ini membabitkan 9 SS dengan pengulangan 3 kali untuk setiap lokasi dengan membabitkan laluan yang cukup mencabar (beberapa pemandu rali yang BK temui menyatakan SS terakhir 3, 6 & 9 agak teruk dan mencabar).
- Rally of Asahan ini akhirnya dimenangi oleh pemandu lejen Karamjit Singh berpasangan dengan Vivek Ponnusamy dengan memandu jentera Subaru Impreza yang disediakan oleh pasukan MRU dengan catatan masa 1:38:29.

- Podium kedua pula menjadi milik Haji Sutan Mustaffa berpasangan dengan Haji Kamarul memandu Subaru Impreza WRX dengan catatan masa 1:40:46. Kedua – dua pemenang ini ibarat menebus semula apa yang terjadi sewaktu di Rally of Pontian.

- Podium tempat ketiga pula menjadi rezeki buat anak muda dari Perlis, Azrul Azhar bersama Juruarah Muhamad Firdaus yang memandu Proton Satria 1.8 dengan catatan masa 1:52:12 bagi merebut peluang yang terhidang akibat daripada beberapa nama besar dan gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah dengan jentera.
- Kedudukan keempat menjadi milik Dinie Nazmie dan Juruarah Nazam Shah bersama Proton Satria 1.6 dengan tempat kelima keseluruhan menjadi milik Shamsudin Ibrahim dan Juruarah Mohd Aizudin dengan Proton Satria 4WD.

- Manakala kedudukan keenam hingga ke sepuluh keseluruhan menjadi milik Khairul Nizam (Proton Iriz Turbo 4WD), Edy Shadzly (Proton Satria 1.8), Zairi Zakaria (Proton Satria 1.6), Hashrul Jamaluddin (Proton Satria 1.3) dan Nikeeta Takkale (Proton Satria Neo)
- Menurut Khairul Nizam atau pun lebih mesra disapa Rellik, Proton Iriz 4WD yang dipandunya turut ditimpa masalah apabila patah lengan suspensi belakang sebelah kanan dan tercabut ketika di SS terakhir. Disebabkan perkara itu mengakibatkan beliau kehilangan masa berharga untuk menduduki podium dan akur untuk berpuas hati di tempat keenam keseluruhan sahaja.

- Malang juga menimpa buat duo anak – beranak Saladyin Rallying – Saladin dan Ibrahim apabila keduanya juga tidak berupaya menamatkan perlumbaan akibat masalah aci pacu (drive shaft) untuk jentera Mini Deus khabarnya dan serta masalah lengan suspensi patah dan timing belt putus untuk Satria Neo.
- Rezeki juga tidak berpihak buat Ir Ts Syakirin Razaki yang membuat debut Subaru Impreza WRX apabila jenteranya turut mengalami masalah teknikal.

- Apa juga kelemahan yang mungkin ada disebalik penganjuran ini, sebetulnya beribu tahniah harus diberikan kepada barisan penganjur Haji Sutan terutamanya yang bekerja keras semenjak dari tahun lepas bagi memastikan penganjuran perlumbaan MIRC tetap dapat dilangsungkan dengan jayanya. Menurut Haji Sutan yang ditemubual, Insya Allah tahun hadapan akan ada lagi siri MIRC dengan empat siri penganjuran bermula Mei nanti. Insya Allah. Kita jumpa lagi tahun hadapan.
BACA : PERLUMBAAN MIRC – RALLY OF PONTIAN HUJUNG MINGGU INI
BACA : RALLY OF ASAHAN HUJUNG MINGGU HADAPAN – MAGHI LER KITER BERRR