Buletin

MARITIM MALAYSIA BURU 12 KREW KAPAL WARGA INDONESIA ROMPAK MINYAK DIESEL RM4.86 JUTA

Kira-kira 12 kru kapal warga Indonesia diburu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan rompakan 1.8 juta liter minyak diesel bernilai RM4.86 juta dalam kejadian pada 5 Disember lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) yang memaklumkan kejadian melibatkan kapal tangki MT Ocean Pride yang berdaftar di Singapura.

Laporan kejadian dibuat pengurus operasi syarikat perkapalan berkenaan selepas mereka gagal menghubungi vesel terbabit ketika berada di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

“Kapal Tangki Ocean Pride memulakan pelayaran dari Banyan, Singapura dengan membawa muatan 4.15 juta liter minyak diesel untuk dihantar ke Dili, Timor Leste.

“Namun pihak syarikat terputus hubungan dengan kru sebelum Bot Perkasa 29 Maritim Malaysia mengesan kedudukan kapal terbabit dan mendapati kesemua kru yang berusia 25 hingga 51 tahun tiada di dalam kapal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Nurul Hizam, pasukan penyiasat mendapati vesel terbabit ditinggalkan di Tanjung Siang, Kota Tinggi selain terdapat cap jari kru pada vesel berkenaan dan semua dokumen berkaitan tidak ada di dalam kapal terbabit.

Pihaknya juga mendapati sejumlah 1.8 juta liter minyak diesel hilang dipercayai dirompak oleh semua suspek yang terlibat. Kerugian dianggarkan bernilai RM4.86 juta.

“Susulan kejadian ini, Maritim Malaysia menyeru agar orang ramai terutamanya komuniti maritim yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit diminta tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi Komander Maritim Mohd. Affandi Ismail di talian 03-89957935 atau Leftenan Maritim Feerdaus Daud (07-8916595),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574). – Utusan Online

Google ads
Back to top button