BENGANG DIHIMPIT, PENUNGGANG MOTOSIKAL LIBAS MYVI GUNA HELMET KINI DIBURU POLIS
Berang motosikal ditunggang dihimpit, seorang lelaki dilapor memukul cermin sebuah Perodua Myvi berwarna biru dengan topi keledar. Kejadian itu dikatakan berlaku jam 11 pagi semalam di persimpangan lampu isyarat Jalan Lundang, Kota Bharu, Kelantan.
Aksi berkenaan sempat dirakamkan oleh pengguna jalan raya lain sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian pengadu yang berusia 31 tahun memandu kereta bersama isteri dan seorang anak perempuan dalam perjalanan untuk pergi berniaga.
“Sebaik tiba di Jalan Lundang, dia didatangi tiga lelaki yang tidak dikenali menunggang dua buah motosikal. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, seorang daripada suspek memukul cermin sisi kiri bahagian belakang kereta mangsa dengan topi keledar.
“Tindakan itu disebabkan tidak berpuas hati dengan pengadu yang dikatakan hampir menghimpit motosikal yang dinaiki kumpulan suspek sebelum mereka mengekori kereta mangsa sehingga berhenti di lampu isyarat itu,” kata Abdul Rahim ketika dihubungi.
Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa mahupun kerosakan pada kereta mangsa.
Beliau juga meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan. Usaha mengesan dan menangkap semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 279 Kanun Keseksaan (KK).
Terdahulu dua klip video masing-masing berdurasi 36 dan 37 saat berkaitan kejadian tular sejak semalam.
Rakaman itu menunjukkan tindakan seorang penunggang motosikal memukul cermin kereta seorang pengguna jalan raya dengan topi keledar dalam keadaan kenderaan masing-masing bergerak dan Perodua Myvi berkenaan cuba menghimpit motosikal.
Rakaman video kedua pula menunjukkan tindakan sama dilakukan sebaik berhenti di persimpangan lampu isyarat. Sorang lagi penunggang motosikal yang dipercayai rakannya turut mendekati kereta itu. – Harian Metro
- BACA: #IKLANPILIHAN: HELMET SHOEI JACK HARGA MYVI. ADA YANG BERMINAT?
- BACA: GIVI PERKENAL HELMET ACQUA DAN D-VISOR DEMI JET BAHARU. BERMULA RM230 SEUNIT
- BACA: ISYTIHAR BUAT PPE, PEMILIK KILANG HELMET DIKOMPAUN RM10K. DIARAH TUTUP SERTA-MERTA
- BACA: BENGANG PAM MINYAK KENA SAILANG, KEPALA WARGA EMAS DIPUKUL DENGAN HELMET