
MAS2025: VESPA SPRINT TECH KINI DI MALAYSIA – RM22,900
Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia dengan rasminya memperkembangkan tawaran dengan pelancaran Vespa Sprint Tech 150 di Malaysia Autoshow 2025.
Berbeza dengan model Sprint lain, Sprint Tech menggabungkan DNA Sprint sedia ada namun dengan suntikan moden dan teknologi. Bagi pasaran tempatan, Vespa Sprint Tech ini dijual pada harga RM22,900.

Hasilnya, Sprint Tech 150 ini hadir dengan skrin TFT 5-inci berwarna yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi Vespa dan Vespa MIA.
Menerusi aplikasi ini, pengguna dapat mengakses pelbagai fungsi termasuk menjawab dan menerima panggilan, notifikasi mesej, muzik, media sosial serta sistem navigasi (turn-by-turn).

Sprint Tech 150 ini merupakan model Sprint pertama yang hadir dengan sistem navigasi buat julung kalinya.
Namun begitu, Sprint Tech ini masih lagi mengekalkan enjin satu slinder i-Get 155cc yang berupaya menjana 12hp pada 7,250rpm dan 12.7Nm pada 5,750rpm.

Model baharu ini juga dipadankan dengan rim berukuran 12-inci depan dan belakang dan dilengkapi dengan ABS. Tangki bahan api pula berkapasiti 8L.
GALERI: VESPA SPRINT TECH 150 2025









