
RASMI: VESPA 180 BAHARU DAH MENDARAT DI MALAYSIA – DARI RM21,500
Vespa Malaysia secara rasmi memperkenalkan tiga model baharu bagi tahun 2026 menerusi Primavera S 180, Sprint S 180 dan Sprint Tech 180 ketika di Art of Speed 2026, baru-baru ini.
Ketiga-tiga model ini merupakan evolusi terbaru skuter ikonik dari Itali itu yang bukan sahaja mengekalkan reka bentuk klasik Vespa, malah menerima pelbagai penambahbaikan dari aspek prestasi, teknologi serta pengalaman menunggang.

Fokus utama terarah pada bahagian enjin dengan kesemua model kini dikuasakan enjin 180cc i-get generasi baharu yang menawarkan prestasi lebih baik berbanding model terdahulu.
Menurut Vespa, enjin ini memberikan pecutan yang lebih lancar, keyakinan tunggangan yang lebih tinggi serta kecekapan bahan api yang dipertingkatkan sama ada untuk kegunaan harian di bandar mahupun tunggangan santai hujung minggu. Untuk rekod, enjin terbaru ini menawarkan 14.7hp dan 13.5Nm berbanding 12.5hp dan 12.5Nm pada model 150.


Selain enjin baharu, rangkaian Vespa 2026 turut menerima pelbagai ciri moden termasuk
- Panel meter LCD berwarna baharu
- Sistem Keyless bagi varian Primavera S dan Sprint Tech
- Skrin TFT 5-inci (Sprint Tech)
- Sistem brek cakera berkembar dengan ABS dual-channel (Sprint Tech)
Menariknya, sempena meraikan ulang tahun ke-80 Vespa, model-model baharu ini turut didatangkan dengan lencana khas 80th Anniversary.

Turut diberikan sentuhan baharu ialah reka bentuk rim, bahagian “front tie”, kemasan badan yang dikemaskini serta cangkuk teh tarik jenis boleh lipat yang lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Sementara itu, Vespa turut menawarkan pelbagai aksesori asli seperti top box sepadan warna badan, penghadang angin, rak bagasi serta pelindung badan yang direka khas.

Untuk rekod, model Sprint Tech merupakan varian paling canggih dalam keluarga Sprint ekoran dilengkapi dengan skrin TFT, sistem brek cakera berkembar bersama ABS dua saluran, sistem keyless serta pelbagai ciri elektronik moden.
Bagi pasaran tempatan, harga jualan bagi Primavera S 180, Sprint S 180 dan Sprinte Tech 180 adalah RM21,500, RM21,900 dan RM23,500.







