Buletin

MASALAH KEWANGAN, HISPANO SUIZA ENGINEERING FAIL BANKRAP

Masalah untuk menanggung liabiliti merupakan antara punca syarikat Austria Hispano Suiza Engineering memfailkan kebankrapan baru-baru ini.

Menurut outlet berita Austria ORF, syarikat Hispano Suiza Engineering itu turut berhadapan dengan masalah produksi yang tertangguh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pandemik COVID-19, serta kos pembangunan kenderaan yang terlalu tinggi.

Kesan daripada itu, Hispano Suiza menanggung beban hutang yang agak tinggi (bernilai €4.7 juta atau RM22.33 juta) bukan sahaja kepada bank, malah kepada pemegang saham dan juga pembekal.

Menurut laporan itu lagi, segala aset termasuklah kilang pemasangan dan dua unit prototaip Maguari HS1 GTC akan dicairkan, sementara hak tanda dagangan pula akan dirampas oleh pihak bank.

Hispano Suiza Engineering diasaskan pada tahun 2016 dan dimiliki sepenuhnya oleh Hispano Suiza Automobilmanufaktur AG yang beribupejabat di Baar, Switzerland.

Syarikat ini pernah mempamerkan unit prototaip Maguari HS1 GTC yang didatangkan dengan nadi V10 pada tahun 2019 dan dijadualkan memasuki produksi terhad sebanyak 300 unit.

Hispano Suiza Carmen Boulogne

Sebenarnya, terdapat sebuah lagi syarikat yang menggunakan nama yang hampir sama, iaitu Hispano Suiza yang dimiliki oleh Peralada Group dan cicit kepada pengasas asal Hispano Suiza, iaitu Miguel Suqué Mateu.

Syarikat Hispano Suiza ini menghasilkan supercar elektrik Carmen 2019 dan Carmen Boulogne 2020.

Sumber: ORF

Google ads
Back to top button