Buletin

MAZDA2 HYBRID LEBIH MURAH BANDING YARIS HYBRID DI EROPAH

Hujung Disember lalu, Mazda Eropah melancarkan model Mazda2 Hybrid yang terang-terang merupakan projek tukar lencana daripada Yaris Hybrid.

Harga jualan rasmi model terbaharu itu telah pun diumumkan, dan mengejutkan apabila Mazda menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding model asal Yaris Hybrid.

Di pasaran UK, harga Mazda2 Hybrid bermula dari £20,300 (RM115,370), atau £520 (RM2,955) lebih rendah berbanding Yaris Hybrid, dan lebih mahal daripada model Mazda2 standard (yang ini rekaan asal Mazda) yang bermula dari £16,575 (RM95,234).

Tiga varian ditawarkan, iaitu Pure, Agile dan Select di mana ketiga-tiga ini didatangkan dengan trenkuasa hibrid 1.5 liter yang mampu menjana 114 hp dan 169 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Secara standard, Mazda2 didatangkan dengan rim keluli bersaiz 15 inci, lampu halogen automatik, penyeka kaca automatik, skrin sentuh tujuh inci, serta kelengkapan ADAS termasuk bantuan pengekalan tengah lorong serta Dynamic Radar Cruise Control.

Versi Agile menambah kelengkapan seperti rim aloi 15 inci, kamera undur, skrin sentuh lapan inci serta opsyen pek Comfort yang merangkumi kluster instrumen digital, tempat duduk sports, kawalan iklim dua zon dan lampu LED.

Sementara varian Select yang tertinggi mendapat rim bersaiz 16 inci, penderia parkir depan dan belakang, aksen hitam berkilat, sistem pencahayaan ambien, pad pengecasan nirwayar dan sistem pemantauan titik buta.

Jadi, kenapa Mazda membuat keputusan untuk melakukan projek rebadge Yaris Hybrid?

Strategi yang digunakan ini bertujuan untuk membantu Mazda mencapai target pengurangan pelepasan emisi CO2 sebanyak 50 peratus menjelang 2030 selari dengan Perjanjian Paris.

Google ads
Back to top button