Buletin

MAZDA FAIL TANDA DAGANGAN ‘LUCE’, FERRARI MUNGKIN TERPAKSA TUKAR NAMA EV PERTAMA

Mazda dilaporkan mengambil langkah awal yang boleh memberi kesan besar kepada pesaingnya apabila memfailkan tanda dagangan bagi nama “Luce” di Jepun, hanya beberapa minggu selepas Ferrari mengumumkan nama sama untuk kenderaan elektrik (EV) sulungnya.

Perkembangan itu menimbulkan kemungkinan pengeluar supercar Itali tersebut terpaksa menilai semula penggunaan nama berkenaan sebelum model sempat dilancarkan secara rasmi.

Nama “Luce” bukanlah asing bagi Mazda. Ia pernah digunakan untuk sedan premium bersaiz besar jenama itu sehingga tahun 1991, malah dikenali sebagai Mazda 929 di beberapa pasaran seperti Australia.

Justeru, langkah Mazda memfailkan semula tanda dagangan dilihat berpotensi menghalang Ferrari daripada menggunakan nama tersebut, sekiranya diluluskan pihak berkuasa.

Menariknya, pada 2017, Mazda pernah memperkenalkan konsep Vision Coupe, sebuah sedan dengan rekaan panjang dan elegan, yang dikatakan sebagai penghormatan kepada warisan jenama itu, termasuk model klasik 1969 Mazda Luce Rotary Coupe.

Ketika itu, ramai menjangkakan ia petunjuk kepada generasi baharu Mazda6, walaupun saiznya lebih besar daripada kebiasaan.

Sementara itu, Ferrari pada Februari lalu telah mendedahkan sebahagian ruang dalaman EV pertamanya, di samping mengesahkan penggunaan nama “Luce”.

Model tersebut menampilkan hala tuju rekaan baharu hasil kerjasama dengan studio LoveFrom, yang diasaskan oleh pereka terkenal Marc Newson bersama bekas pereka utama iPhone, Sir Jony Ive.

Namun, tindakan Mazda ini tidak semestinya menandakan kemunculan semula model Luce dalam masa terdekat. Lazimnya, pengeluar kenderaan akan memperbaharui atau memfailkan tanda dagangan bagi nama lama sebagai langkah perlindungan, bagi mengelakkan ia digunakan pihak lain.

Dalam industri automotif, isu penukaran nama bukan perkara baharu. Pada 2024, Alfa Romeo terpaksa menukar nama SUV kompaknya daripada “Milano” kepada “Junior” kerana undang-undang Itali melarang penggunaan nama yang menggambarkan asal negara jika kenderaan itu dihasilkan di luar Itali.

Kes lain termasuk Fiat – terpaksa membatalkan nama “Gingo” untuk model Panda pada 2003 selepas bantahan Renault, serta Volvo yang menggugurkan nama “S4” bagi sedan generasi pertama S40 kerana konflik dengan Audi.

Walau bagaimanapun, terdapat juga situasi di mana dua jenama berbeza berkongsi nama model yang sama tanpa konflik besar.

Contohnya, Bentley dan Lincoln pernah menawarkan model “Continental” secara serentak, manakala BMW dan GAC masing-masing mempunyai model “M8”, selain Audi dan MG yang menggunakan nama “S5” di pasaran tertentu.

Apa yang pasti, langkah terbaharu Mazda ini menambah satu lagi episod menarik dalam persaingan industri automotif global, khususnya ketika pengeluar kenderaan berlumba-lumba memperkenalkan model elektrik baharu.

Google ads
Back to top button