
MAZDA TINGKATKAN PRODUKSI ENJIN DI THAILAND
Mazda Motor Corporation baru-baru ini menyatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan di kilang pemasangan enjinnya di Chonburi, Thailand daripada 30,000 kepada 100,000 menjelang separuh pertama 2018.
Mazda turut mengumumkan bahawa ia merancang untuk membina sebuah kemudahan pemesinan enjin baharu yang memiliki kapasiti sama dengan Mazda Powertrain Manufacturing (Thailand) Co., Ltd. (MPMT).
MPMT bertanggungjawab menghasilkan enjin diesel bersih SKYACTIV-D 1.5 liter dan enjin petrol SKYACTIV-G 1.3 liter untuk model Mazda2 yang dihasilkan di kilang berhampiran, Auto Alliance (Thailand) Co., Ltd.
Pengeluar kenderaan dari Jepun itu melabur sebanyak ¥22.1 bilion (RM877 juta) untuk meningkatkan kapasiti produksi enjinnya. Kilang pemesinan enjin baharu itu dijangka melengkapkan lagi sistem produksi kenderaan Mazda di Thailand yang melibatkan badan kenderaan, enjin dan transmisi.
Mazda juga mengilangkan enjin SKYACTIV-G 2.0 di sana. Sebelum mengeksportnya ke Malaysia dan Vietnam.
“Mazda berhasrat untuk membangunkan MPMY sebagai hab eksport enjin pertamanya di luar negara. Sekali gus menambah baik kecekapan produksi global dan menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif Thailand,” kata Pegawai Pengrus Eksekutif Mazda, Masatoshi Maruyama.