
MERCEDES-AMG CLE 53 4MATIC+ COUPÉ LIMITED EDITION TAMPIL LEBIH EKSKLUSIF, HARGA BERMULA RM836K
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé Limited Edition, sebuah model edisi terhad yang tampil dengan penampilan lebih eksklusif menerusi penambahan elemen rekaan khas pada bahagian luaran dan kabin.
Edisi istimewa ini mengekalkan karakter sporty model AMG CLE Coupé, namun diberikan sentuhan tambahan termasuk kemasan badan MANUFAKTUR Graphite Grey Magno, rim tempa eksklusif serta perincian warna kuning yang menyerlahkan identitinya.
Dari segi prestasi, model ini menggunakan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan sistem pengecasan berkembar yang telah menerima pengubahsuaian khusus oleh Mercedes-AMG.

Unit berkenaan menghasilkan kuasa maksimum 449hp (330kW) dengan tork 560Nm. Angka tork itu boleh meningkat sehingga 600Nm untuk tempoh singkat menerusi fungsi overboost.
Kuasa disalurkan melalui transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ yang menawarkan agihan kuasa berubah mengikut keperluan pemanduan.
Antara kelengkapan teknikal lain termasuk pakej AMG DYNAMIC PLUS, AMG Driver’s Package, sistem suspensi AMG RIDE CONTROL serta sistem stereng gandar belakang yang boleh beroperasi sehingga sudut 2.5 darjah.
Antara perubahan utama pada Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé Limited Edition ialah penggunaan kemasan khas yang membezakannya daripada versi standard.
Antara ciri yang ditawarkan ialah:
- Kemasan badan MANUFAKTUR Graphite Grey Magno dengan permukaan matte.
- Elemen balutan filem khas yang menampilkan logo AMG bersaiz besar dan aksen warna kuning.
- Rim tempa AMG 20-inci dengan rekaan cross-spoke.
- Kemasan bibir rim berwarna kuning yang dikhaskan untuk edisi ini.
- Angkup brek berwarna kelabu.
- Penutup tangki bahan api berkemasan perak krom dengan tulisan AMG dan elemen hitam.
Ruang dalaman turut menerima beberapa penambahbaikan bagi memberikan suasana lebih sporty dan premium.

Antara kelengkapan yang disediakan ialah:
- Pakej tempat duduk AMG Performance High-End.
- Balutan tempat duduk menggunakan kulit AMG Nappa berwarna hitam.
- Jahitan kontras berwarna kuning pada tempat duduk.
- Tali pinggang keledar berwarna kuning.
- Kemasan hiasan kabin gentian karbon AMG.
- Panel ambang pintu AMG dengan pencahayaan kuning dan penutup yang boleh ditukar ganti.
- Permaidani lantai khas AMG dengan lencana dan jahitan kuning.
- Stereng AMG Performance dengan rekaan gentian karbon dan bahan mikrofiber MICROCUT.
Sebagai kelengkapan tambahan, setiap unit turut disertakan sarung kereta khas AMG untuk kegunaan dalaman.
Ia menggunakan fabrik gentian sintetik tahan koyak pada bahagian luar serta lapisan flanel antistatik di bahagian dalam bagi membantu melindungi badan kenderaan daripada habuk dan calar ketika disimpan di dalam garaj.
Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé Limited Edition ditawarkan pada harga RM836,888 bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga untuk Langkawi ialah RM374,590.
GALERI:









