MERCEDES-AMG G63 FACELIFT DILANCARKAN, JANA 585HP – HARGA BERMULA RM1.9 JUTA
Mercedes-Benz Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-AMG G63 versi facelift 2024 dan ditawarkan pada harga bermula RM1,948,888 atas jalan tanpa insuran.
Dari penggayaan, bahagian hadapan AMG G63 ini menyerlah dengan gril radiator spesifik AMG serta gril masukan udara besar pada bampar hadapan, memberikan penampilan yang garang dan eksklusif.
Bagi mereka yang mahu menambah sentuhan maskulin, AMG Night Package menawarkan elemen rekaan lebih sporty dengan kemasan hitam atau krom gelap.
Menambah lagi estetika luarannya, AMG G63 dilengkapi dengan angkup brek berwarna merah, cakera brek berlubang, rim AMG cross-spoke 22-inci dan tip ekzos pada sisi badan.
Menjengah dalam kabin, Mercedes-AMG G63 facelift dilengkapi sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) – skrin sesentuh 12.3-inci, sistem arahan suara “Hey Mercedes”, navigasi AR, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Perincian lain termasuklah paparan instrument digital 12.3-inci bersama AMG Track Pace dan data logger selain, diserlahkan lagi melalui gentian karbon di bahagian dalaman, roda stereng AMG Performance baharu serta papan pemuka dibalut dengan kulit nappa.
Bukan itu sahaja, kelengkapan standard turut tersedia seperti monitor belakang berkembar bersaiz 11.6-inci, sistem audio Burmester 3D 15-pembesar suara, bumbung suria, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori, pemegang cawan dan pengecas tanpa wayar Qi.
Beralih pada kuasa, Mercedes-AMG G63 masih dijana oleh enjin M177 4.0 liter V8 pengecas turbo berkembar, berupaya menghamburkan 585hp dan tork 850Nm.
Untuk meningkatkan prestasi, model ini kini dilengkapi dengan teknologi 48 volt dan Integrated Starter-Generator (ISG) yang membekalkan tambahan 20hp dan tork tambahan sebanyak 200Nm.
Dengan gabungan teknologi ini, AMG G63 mampu memecut dari keadaan pegun ke 100 km/j hanya dalam masa 4.4 saat.
Bagi pemandu yang inginkan lebih kepantasan, AMG Performance Package membolehkan kelajuan maksimum mencapai 240 km/j, berbanding kelajuan standard 220 km/j.
Ciri-ciri seperti suspensi AMG ACTIVE RIDE CONTROL dengan sistem penstabilan gulungan aktif dan peredam yang boleh disesuaikan turut menyumbang kepada kestabilan serta pengendalian dinamik kenderaan ini.
Bagi ciri keselamatan, Mercedes-AMG G63 facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan merangkumi bantuan kekal tengah lorong, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, pemantau titik buta, amaran buka pintu, lampu tinggi adaptif selain dilengkapi bantuan parkir dan sistem kamera 360-darjah.
Seperti dinyatakan diatas, Mercedes-AMG G63 facelift boleh dimiliki pada harga bermula RM1,948,888 atas jalan tanpa insuran dan menerima perlindungan waranti selama empat-tahun, tanpa had perbatuan.
GALERI: