Artikel Pilihan

BOLEH KE GUNA AIR PAIP SAJA UNTUK TANGKI PENCUCI CERMIN KERETA?

Air paip merupakan seumber yang mudah sekiranya anda memerlukan air untuk diisi dalam tangki pencuci cermin kereta anda. Ia boleh dilakukan di rumah, cepat dan murah. Namun selepas memandu hampir 20 tahun, penulis mendapati tangki dan tiub untuk menyalurkan cecair pencuci ke cermin depan menjadi cepat kotor

Ya itulah yang akan terjadi dalam satu sela masa yang lama sekiranya anda kerap menggunakan air paip sahaja untuk diisi dalam tangki pencuci cermin dan tidak menggunakan pencuci khas untuk diisi dalam tangki air tersebut

Air paip tidak memiliki keupyaan kimia yang cukup untuk mencuci cermin depan dan berada dalam sistem pencucian cermin depan (tiub dan tangki)

Biasanya setiap kali anda menghantar kereta untuk diservis di pusat servis, formen akan mencadangkan anda untuk mengisi semula cecair pencuci cermin yang dijual di pusat servis dengan harga antara RM 3 ke RM 7 bagi setiap botol atau peket

Pencuci khas cermin ini mengandungi bahan aditif, detergen dan sedikit campuran alkohol untuk membantu anda mencuci cermin depan daripada sisa serangga yang melekat, getah pokok, tar jalan dan juga pelbagai bahan kotoran lain yang gagal dicuci sekiranya anda menggunakan air paip yang biasa

Air paip biasa tidak berupaya mencuci semua kotoran di atas melainkan habuk dan debu jalanan sahaja, menyebabkan cermin depan menjadi kotor dan bergaris selepas cuba dibersihkan dengan menggunakan getah pengelap cermin

Bagi sesetengah kereta yang digunakan di negara beriklim sejuk, cecair pencuci cermin akan dicampur dengan sedikit bahan antifreeze (methanol atau ethylene glycol) untuk mengelakkan membeku di dalam tangki dan juga di dalam tiub getah semasa cuaca sejuk

Bagi negara beriklim panas, campuran methanol atau ethylene glycol ini juga akan merendahkan takat didih cecair, menyebabkan kurangnya kesan penyejatan air berlaku jika kereta diparkir di bawah cahaya matahari terik dalam tempoh yang lama.

Campuran detergen dan alkohol ini juga akan menghalang bakteria yang berada dalam tangki, tiub, dan cecair daripada membiak dan menyebabkan ia berkeladak dan mengotori semua sistem pencuci cermin depan

Satu lagi kelebihan menggunakan pencuci cermin ialah, ia memang sengaja dicampurkan dengan pewarna biru. Walaupun kelihatan lebih kepada kosmetik, namun warna biru ini sebenarnya membenarkan anda melihat ke mana cecair pencuci jatuh atas cermin sewaktu anda menekan tuil pengelap cermin.

Warna biru ini akan memudahkan anda mengenalpasti kawasan mana di atas cermin depan yang perlu dibersihkan lagi dengan menggunakan pengelap cermin. Air paip yang jernih tidak berwarna tidak membantu proses ini, manakala cecair pencuci cermin yang berwarna biru membantu anda membersihkan cermin dengan berkesan

Sesetengah cecair pencuci yang premium, ia juga akan dicampurkan dengan agen hydrophobic, menghalang air hujan daripada “melekat” di atas permukaan cermin depan ketika hujan lebat. Ciri hydrophobic juga membenarkan air hujan disingkirkan dengan pantas dan menjadikan cermin depan lebih jelas berbanding dengan hanya menggunakan air paip sahaja

Google ads
Back to top button