Buletin

TOYOTA DAN JOBY TERBANGKAN TEKSI UDARA DI JEPUN!

Selepas Toyota mengumumkan penambahan pelaburan sebanyak AS$500 juta (RM) pada awal Oktober, Joby Aviation, Inc. membawa teksi udara keluarannya ke Jepun.

Kedua-dua syarikat mengumumkan kejayaan penerbangan demonstrasi antarabangsa pertama Joby yang berlangsung di Pusat Teknikal Higashi-Fuji Toyota di Shizuoka, Jepun, awal minggu ini.

Apa yang menarik ialah unit prototaip pengeluaran teksi udara Joby diterbangkan di depan Gunung Fuji yang ikonik.

Penerbangan itu menunjukkan keupayaan teksi udara Joby dan meraikan hampir tujuh tahun kerjasama di antara kedua-dua syarikat.

Di sebalik kerjasama ini, Toyota rupa-rupanya mempunyai sejarah panjang di dalam dunia penerbangan dan kini diteruskan cicit pengasas, Akio Toyoda.

Pada 1925, Sakichi Toyoda, pengasas Kumpulan Toyota menawarkan hadiah bagi menggalakkan pembangunan bateri simpanan yang boleh membekalkan prestasi yang cukup bagi menerbangkan pesawat merentasi Lautan Pasifik.

Sejak dari itu, Toyota secara berterusan menumpukan pada cabaran pengangkutan udara.

Pengasas Toyota Motor Corporation, Kiichiro Toyoda juga menunjukkan minat mendalam di dalam perniagaan pesawat dan menghasilkan prototaip helikopter dan perkakasan pesawat.

Selepas Perang Dunia Kedua, Dr. Shoichiro Toyoda terlibat di dalam pembangunan bersama enjin aero omboh kawalan elektronik pertama di dunia bersama syarikat dari Amerika di Pusat Teknikal Higashi-Fuji Toyota.

Impian Sakichi Toyoda terus bersambung dengan bateri dilihat sebagai sumber kuasa yang bersesuaian digunakan untuk eVTOL (pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak).

Untuk projek ini, para jurutera Toyota bekerja bersama Joby di California dan pada 2023 kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian jangka masa panjang.

Melalui persetujuan tersebut, Toyota akan membekalkan rangkaian kuasa utama dan perkakasan penggerak untuk pengeluaran pesawat Joby.

Teksi udara Joby direka untuk membawa seorang juruterbang dan empat penumpang pada kelajuan sehingga 322 kilometer sejam (km/j).

Perkhidmatan pengangkutan udara baharu ini disasarkan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, meminimumkan impak alam sekitar dan menyediakan penyelesaian pengangkutan di kawasan bandar dan luar bandar.

Joby diasaskan pada 2009 dan telah melakukan ratusan penerbangan ujian.

Google ads
Back to top button