Buletin

MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR AMG CLE 53 4MATIC+ COUPÉ DAN CLA 45 S 4MATIC+ COUPÉ FINAL EDITION

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan dua model baharu untuk pasaran tempatan, iaitu Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé dan Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition.

Kedua-dua model ini menampilkan gabungan kuasa, ketepatan kejuruteraan serta rekaan dinamik yang menjadi identiti AMG sejak sekian lama.

Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé

CLE 53 merupakan model dua pintu yang menyatukan gaya sporty C-Class dengan kemewahan serta ruang E-Class.

Ia dipacu enjin 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar dan pemampat elektrik, menghasilkan 449hp dan tork 560Nm (600 Nm dengan fungsi overboost). Sistem hibrid ringan 48 volt turut membantu dengan tambahan kuasa 23hp.

Dipadankan dengan transmisi automatik AMG SPEEDSHIFT TCT 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+, kereta ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.2 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j yang boleh ditingkatkan ke 270 km/j melalui pakej AMG Driver’s.

Bahagian luaran menonjol dengan gril radiator berbentuk A khas AMG, lampu DIGITAL LIGHT, bonet panjang dengan garis kuasa serta rim aloi 20-inci rekaan Y-spoke.

Bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu LED tiga dimensi serta paip ekzos berkembar. Pelanggan juga boleh memilih pakej AMG Night atau pakej karbon untuk sentuhan lebih sporty.

Ruang dalaman dipenuhi teknologi terkini dengan paparan pemandu 12.3-inci, skrin tengah 11.9-inci menegak serta sistem infotainmen MBUX generasi baharu.

Tempat duduk AMG Performance dengan jahitan merah kontras, tali pinggang merah, roda stereng kulit Nappa dan kemasan gentian karbon melengkapkan suasana sporty.

Harga jualan CLE 53 4MATIC+ Coupé bermula dari RM722,888 (tidak termasuk insurans, termasuk SST 10%).

Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition

Model edisi khas CLA 45 S pula tampil dengan kelengkapan eksklusif melalui pakej AMG Night II. Beberapa perincian luaran diberikan kemasan krom gelap, manakala warna badan ditawarkan dalam MANUFAKTUR alpine grey solid serta patagonia red metallic.

Dikuasakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 421hp dan tork 500Nm, model ini mampu memecut 0-100 km/j dalam 4.1 saat.

Kelajuan maksimum dicatatkan pada 270 km/j.

Harga jualan CLA 45 S Final Edition ditetapkan pada RM538,888 (tidak termasuk insurans, termasuk SST 10%).

AMG World of Performance

Sempena pelancaran ini, Mercedes-Benz Malaysia menganjurkan pameran AMG World of Performance di 1 Utama Shopping Centre dari 10 hingga 15 September.

Orang ramai berpeluang melihat barisan penuh model AMG termasuk A 45 S hatchback serta mencuba pandu uji beberapa model pilihan.

Selain itu, lima pembeli bertuah yang membuat tempahan model AMG antara Jun hingga Julai 2025 turut menerima ganjaran tiket penerbangan kelas perniagaan Malaysia Airlines bernilai sehingga RM20,000 seorang, sebagai penghargaan atas sokongan mereka.

GALERI:

Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé

Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition

Google ads
Back to top button