Buletin

MERCEDES-BENZ C 200 AMG LINE DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM292K

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model baharu Mercedes-Benz C 200 AMG Line, membawa imej lebih sporty dengan rekaan yang diperhalusi.

Model C-Class kekal sebagai jualan utama jenama ini di Malaysia sejak sedekad lalu, dan tradisi itu diteruskan dengan varian terbaharu yang dipasang secara tempatan di kilang pengeluaran Pekan, Pahang.

Rekaan luaran C 200 AMG Line tampil segar dengan sentuhan AMG Line Exterior, termasuk bampar hadapan dengan bukaan udara besar, bampar belakang gaya diffuser, gril radiator dengan corak ikonik Mercedes-Benz, sistem ekzos dengan dua tip ekzos kelihatan serta rim aloi ringan AMG 19-inci.

Sistem brek turut dipertingkatkan dengan cakera hadapan lebih besar serta berlubang, diserlahkan dengan ukiran “Mercedes-Benz” yang menekankan karakter sporty.

Bahagian dalaman pula dilengkapi AMG Line Interior, antaranya stereng sport pelbagai fungsi berbalut kulit nappa dengan bahagian bawah rata, pedal sport AMG daripada keluli tahan karat, serta alas kaki baldu hitam dengan tulisan “AMG”. Semua ini menambah rasa premium dan keseronokan pemanduan.

Dari segi teknologi, model ini hadir dengan Pakej Parkir bersama kamera 360°, membolehkan pandangan menyeluruh termasuk imej 3D pandangan burung untuk memudahkan parkir.

Selain itu, Pakej USB Plus menyediakan enam port USB-C dan dua soket 12V dengan sokongan pengecasan pantas untuk semua penumpang.

Mercedes-Benz C 200 AMG Line dipacu enjin 1.5 liter turbo dengan bantuan motor elektrik ringan, menghasilkan kuasa gabungan sehingga 204hp dan 300Nm tork, disertai motor elektrik 17kW dengan tambahan tork 200Nm.

Untuk rekod, model ini mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam 7.3 saat, dengan kelajuan maksimum 246 km/j.

Harga jualan untuk Semenanjung Malaysia ialah RM292,888 (termasuk cukai jualan 10%, tanpa insurans).

Tempahan awal sudah dibuka melalui laman rasmi Mercedes-Benz, manakala penghantaran dijadual bermula Oktober 2025.

GALERI:

Google ads
Back to top button