Artikel PilihanBuletin

MICHIO SUZUKI – LELAKI BIASA YANG TELAH MENGUBAH DUNIA

Kalau dah namanya Michio Suzuki rasanya nada mesti sudah tahu siapa dia kan? Inilah orangnya yang memperkenalkan jenama Suzuki kepada kita. Ini merupakan keistimewaan orang Jepun, mereka menjenamakan produk mereka dengan nama sendiri. 

Di Malaysia kita juga ada syarikat permotoran yang menggunakan nama sendiri contohnya Naza Motor dan nama inilah yang akan menjadi legasi kepada anak cucu mereka.

Balik kepada Michio Suzuki, beliau merupakan seorang lelaki yang luar biasa. Seorang pencipta semulajadi yang telah mempatenkan beratus-ratus idea sepanjang hidup beliau.

Michio Suzuki dilahirkan dalam tahun 1887 di sebuah kampung yang bernama Nezumino-mura yang hanya mempunyai 32 buah rumah sahaja. Beliau merupakan anak kedua seorang peladang yang menghabiskan masa kecilnya dengan memetik kapas. Pada awalnya, kejuruteraan, rekacipta dan elektrik merupakan sesuatu yang asing dalam hidup Suzuki dan keluarganya.

suzuki (2)

Satu-satunya kemahiran penduduk Nezumino-mura ialah menenun kain kapas dan inilah yang memberi idea kepada Suzuki untuk ciptaan sulung beliau. Antara ungkapan beliau dan menjadi sumber inspirasi kepada beliau sendiri ialah;

“Sentiasa mendengar kehendak pelanggan dan membangunkan produk yang praktikal tetapi pada masa yang sama cukup berguna kepada pelanggan”.

Membesar dalam budaya menenun kain jadi tidak mustahil lah hasil ciptaan beliau yang pertama ialah mesin tenunan yang dihasilkan menggunakan kepingan besi dan papan lapis. Dengan mesin ciptaan beliau inilah ibu Suzuki mampu menghasilkan tenunan yang 10 kali lebih pantas berbanding cara tradisional.

Kejayaan beliau menghasilkan mesin tenunan baru ini cepat tersebar dan beliau mula menerima tempahan. Dengan keyakinan baru hasil kejayaan pertama itu, beliau memulakan syarikat pertama beliau yang dinamakan Suzuki Loom Manufacturing dalam tahun 1909.

Syarikat inilah yang kemudiannya berkembang menjadi Suzuki Motors. Pada masa itu Suzuki cuma berumur 20 tahun dan memulakan syarikat beliau di atas sekeping tanah seluas 200 meter persegi yang dipinjam daripada penduduk setempat.

Selepas beberapa siri ciptaan yang berjaya dipasarkan, Suzuki menempa nama bila mengeluarkan mesin tenunan kain sarung yang berjaya dieksport hampir keseluruh Asia Tenggara sekitar tahun 1930. Inilah produk pertama yang berjaya dieksport seterusnya menaikkan nama syarikat beliau selaku pengeluar mesin tenunan. Mesin ini merupakan produk utama syarikat Suzuki untuk kesekian tahun lamanya. Ianya satu kejayaan besar dan asas kepada hala tuju syarikat Suzuki seterusnya.

20 tahun kemudian, selepas Perang Dunia ke 2, Jepun mula bangkit daripada kemusnahan akibat ledakan bom atom. Fokus mereka adalah untuk bangkit semula membangunkan masyarakat dan industri agar tidak ketinggalan berbanding negara-negara lain.

Suzuki-Hayabusa-2014-mekanika (5)

Dengan tekstil sebagai hasil utama Jepun, selain perusahaan membina kapal dan kereta api, Suzuki sendiri tidak sedar bahawa syarikat beliau berada pada landasan yang tepat untuk mencapai kejayaan.

Berdasarkan keperluan semasa, Suzuki mengambil langkah pertama dalam membangunkan kenderaan bersaiz mini. Pada masa tersebut rata-rata syarikat lain memfokuskan usaha dalam menghasilkan kereta-kereta bersaiz besar.

Suzuki sedar akan keperluan ramai anggota masyarakat yang memerlukan kenderaan bersaiz kecil, praktikal dan mampu milik. Ini merupakan satu bidang baru untuk para jurutera Suzuki dan hasilnya ialah sebuah basikal bermotor. Ia diasaskan daripada sebuah basikal biasa yang dilengkapkan dengan enjin 36cc.

Inovasi merupakan rahsia kekuatan Suzuki dan kemudiannya berkembang kepada penghasilan motosikal. Tahun 1954, hanya dua tahun selepas basikal bermotor dikeluarkan, nama syarikat beliau ditukar kepada Suzuki Kabushikigaisha (Suzuki Motor Company). Mesin tenunan sudah menjadi sejarah dan Suzuki berkembang dengan menghasilkan kereta, van dan sebagainya.

Michio Suzuki menyumbang kepada penghasilan rekaan enjin dan menjadi presiden syarikat sehingga pertengah tahun 50-an. Beliau bersara sewaktu berumur 70 tahun dan menyerahkan kedudukan kepada anak beliau.

Legasi Suzuki berterusan sehingga ke hari ini. Suzuki masih menghasilkan kenderaan yang efisien, berguna dan praktikal tetapi pada masa yang sama memberikan pulangan wang yang baik kepada pengguna.

Siapa sangka nenek moyang Suzuki Hayabusa rupanya datang dari sebuah mesin menenun kapas. Itu belum kira Suzuki Escudo Pikes Peak yang dipandu oleh Monster Tajima ke puncak gunung.

Walaupun Suzuki telah menutup kilang pemasangannya di Pulau Pinang bulan lalu, itu tak bermakna jenama ini lemah. Cuma di Malaysia saja susah cari makan agaknya.

 

 

 

Google ads
Back to top button