Buletin

SUZUKI DEDAH HAYABUSA VERSI BOL D’OR EDISI TERHAD. 100 UNIT SAHAJA, BERMULA RM132K

Suzuki mendedahkan Hayabusa Edisi GP di Torino pada September lalu. Kali ini, ia tampil sebagai versi Bol d’Or edisi terhad untuk pasaran Perancis yang hanya akan dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja.

Bol d’Or, acara perlumbaan lasak motosikal ikonik yang diadakan di Perancis baru-baru ini meraikan ulang tahun yang ke-100. Suzuki, Honda dan Yamaha, mempunyai rekod prestasi mengagumkan dalam EWC. Maka, wajar untuk Suzuki mengeluarkan Hayabusa edisi terhad bagi memperingati perlumbaan ikonik tersebut.

Jentera itu menampilkan sistem ekzos Akrapovic yang menawarkan pengalaman menunggang dengan deruan bunyi mengujakan. Ia juga mendapat racing windscreen yang lebih besar untuk memberi perlindungan angin tambahan apabila ditunggang pada kelajuan paling tinggi.

Penggayaan berorientasikan perlumbaan tidak berhenti di situ saja, naik taraf kosmetik di bahagian belakang juga membuatkan ia kelihatan lebih sporty dengan penutup tempat duduk sporty menutupi tempat duduk pembonceng.

Selain itu, terdapat juga pelana lebih rata dan sporty, tuil brek yang dinaik taraf, klac serta ekor lebih pendek.

Untuk bahagian enjin pula, komponen gentian karbon berfungsi sebagai pelindung kotak engkol, manakala anodized hardware menghiasi pelbagai bahagian. Turut tersedia adalah plat nombor aluminium untuk memberikan nuansa eksklusiviti kepada 100 unit terhad yang dilancarkan.

Versi edisi terhad itu kini tersedia untuk tempahan di platform dalam talian Suzuki Smart Buy di Perancis pada harga AS$28,000 (RM132,412).

Google ads
Back to top button