Motosikal

MOTOGP TERUEL 2020: MORBIDELLI JUARA. POSISI 2-3 UNTUK SUZUKI

Pelumba pasukan satelit Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli mempamerkan tunggangan meyakinkan apabila menjuarai MotoGP di litar Teruel, sebentar tadi.

Morbidelli yang memimpin perlumbaan sejak awal langsung tidak memberi peluang kepada dua pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins dan Joan Mir untuk memotongnya. Ini membuatkan mereka terpaksa berpuas hati untuk berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Ia sekali gus mengulangi keputusan sama yang dicatatkan oleh pasukan Suzuki sebelum ini.

Kemenangan itu juga membolehkan Morbidelli mengutip 25 mata, sekaligus berada di tempat keempat dengan 112 mata.

“Saya berterima kasih kepada pasukan kerana berjaya memastikan jentera berada dalam keadaan sangat cemerlang sepanjang perlumbaan.

“Jadi, saya hanya fokus untuk memecut dan menunggang dengan agresif,” kata Morbidelli.

Joan mir yang bermula di kedudukan ke-12 bagaimanapun masih mampu mengekalkan kedudukan pertama dengan 137 mata. Sementara rakan sepasukannya, Rins berada di tempat keenam dengan 105 mata.

Paling kurang bernasib baik ialah dua orang pelumba Honda. Takaaki Nakagami (LCR Honda IDEMITSU) yang memulakan perlumbaan pada kedudukan pole jatuh seawal selekoh keempat.

Manakala Alex Marquez (Repsol Honda) pula terjatuh ketika berada di kedudukan kelima. Takpe, minggu depan cuba lagi.

Google ads
Back to top button