Motosikal

PELUMBA WORLDSBK, GARRETT GERLOFF GANTI MORBIDELLI DI GP BELANDA

Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) membuat keputusan memberikan peluang kepada pelumba Amerika Syarikat (AS), Garrett Gerloff menggantikan sementara Franco Morbidelli yang cedera, dalam Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen hujung minggu ini.

Morbidelli kini menjalani penilaian perubatan dan rawatan selepas mengalami kecederaan pada lutut kirinya.

Gerloff yang berusia 25 tahun merupakan seorang penunggang GRT Yamaha WorldSBK dalam  Kejohanan Superbike Dunia.

Beliau sebelum ini menunggang jentera Yamaha YZR-M1 semasa menggantikan Valentino Rossi dalam pasukan MotoGP Monster Energy Yamaha pada sesi latihan GP Eropah  di Valencia tahun lepas.

“Saya teruja dengan peluang di hadapan, saya bukannya seorang yang melarikan diri daripada sesuatu cabaran, jadi saya bersedia untuk turun ke litar. 

“Ia adalah litar baharu buat saya dan gemar mencuba litar baharu. Ia nampak menarik, pantas dan lancar serta menepati gaya tunggangan saya,” katanya.

Dia juga tidak sabar berada di atas jentera Yamaha M1 sekali lagi.

Sementara itu, Prinsipal Pasukan Datuk Razlan Razali teruja untuk mengalu-alukan Gerloff tetapi mengingatkan pelumba itu bahawa tugasan berat menantinya sepanjang hujung minggu ini.

“Setiap orang perlu bergerak pantas selepas berita lewat semalam bahawa Franco tidak boleh berlumba hujung minggu ini dan kami berterima kasih kepada Yamaha kerana memudahkan cara.

“Kami mengharapkan Franco pulih kembali dengan sempurna dan semoga beliau akan kembali ke litar selepas cuti musim panas,” katanya. – Bernama

Google ads
Back to top button