Buletin

MYJALAN BAKAL DIBANGUN SEBAGAI PLATFORM RUJUKAN NASIONAL – NANTA LINGGI

Data rangkaian jalan raya seluruh negara bakal diselaraskan menerusi inisiatif MYJalan yang akan dibangunkan sebagai platform rujukan nasional di bawah satu kerangka bersama.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata platform berkenaan akan menghubungkan data jalan Persekutuan, jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pemilik jalan lain.

Katanya, usaha itu bertujuan mewujudkan satu gambaran nasional mengenai rangkaian jalan Malaysia menerusi satu data, satu piawaian dan satu ekosistem data jalan nasional.

“Kita perlu bergerak ke arah data jalan raya yang bukan sahaja lengkap, malah saling berhubung, mempunyai piawaian seragam dan boleh dipercayai.

“Matlamat kita ialah satu data, satu piawaian dan satu ekosistem data jalan raya nasional,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Malaysian Road and Traffic Expo (MYARTTE 2026), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nanta menyeru pemain industri dan agensi kerajaan supaya bekerjasama serta tidak beroperasi secara bersendirian, mengambil kira rangkaian jalan raya yang saling berhubung dan bidang kuasa pentadbiran jalan yang boleh mengelirukan.

Katanya, selain aspek pembinaan dan perancangan jalan raya, ketersediaan data yang relevan penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan jalan, termasuk penyelenggaraan dan tindakan terhadap aduan berkaitan keadaan jalan.

“Ini bukan sahaja mengenai perancangan dan penyelenggaraan jalan raya, tetapi juga membolehkan kita bertindak dengan cepat terhadap aduan mengenai keadaan jalan, khususnya bagi mengelakkan kemalangan maut atau kesesakan lalu lintas.

“Kita mahu keputusan berkaitan dasar dan kaedah pelaksanaan dibuat berdasarkan data,” katanya.

Dalam ucapannya, Nanta berkata inisiatif seperti MYJalan dan ‘No Wrong Door Policy’ mencerminkan prinsip bahawa perkhidmatan kerajaan perlu disusun berdasarkan keperluan rakyat, bukan mengikut sempadan institusi.

“Jalan raya dan jambatan adalah aset negara yang perlu diurus, diselenggara dan ditambah baik sepanjang kitar hayatnya dan untuk menguruskannya dengan baik, kita perlu mengetahui dengan tepat apa yang kita miliki.

“Inilah sebabnya data perlu menjadi sebahagian daripada agenda reformasi infrastruktur Malaysia,” katanya.

Tambah Nanta, Malaysia perlu melangkaui peranan sebagai pengguna teknologi infrastruktur dengan membangunkan negara sebagai hab serantau bagi menghasilkan dan menawarkan penyelesaian teknologi.

Katanya, negara mempunyai bakat dan kepakaran untuk membangunkan keupayaan berkenaan serta membawanya ke luar negara, khususnya ketika cabaran infrastruktur semakin memerlukan kerjasama, inovasi dan pembuatan keputusan berasaskan data.

“Aspirasi kita jelas. Kita perlu meletakkan Malaysia bukan sekadar sebagai pasaran ASEAN, tetapi sebagai hab serantau tempat penyelesaian infrastruktur dicipta, diuji dan dilaksanakan, tempat idea diterjemahkan kepada kerjasama dan inovasi menghasilkan impak,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button