
JPJ JOHOR SIASAT ‘KERETA SAPU’ WARGA ASING
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor memulakan siasatan berhubung dakwaan warga asing menyewa kereta daripada rakyat tempatan dan menggunakannya untuk menjalankan perkhidmatan e-panggilan serta ‘kereta sapu’ secara haram di beberapa daerah di negeri ini.
Siasatan itu susulan tularnya satu video di media sosial, yang memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh mengambil penumpang berhampiran terminal bas di sebuah daerah tidak dinyatakan lokasinya.
Rakaman itu turut menunjukkan seorang rakyat tempatan bersemuka dengan pemandu warga asing berkenaan, memandu kenderaan dipercayai tanpa lesen memandu sah, permit e-panggilan mahupun cukai jalan.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, berkata pihaknya menerima aduan perkara itu dan sudah menghubungi pengadu bagi mendapatkan butiran lanjut.
“Kami belum dapat mengesahkan sama ada kenderaan dipaparkan dalam rakaman itu digunakan untuk perkhidmatan e-panggilan haram atau sama ada pemandunya beroperasi tanpa lesen yang diperlukan,” katanya kepada New Straits Times.
Beliau berkata, JPJ sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik berdaftar kenderaan itu, dan mengarahkan individu berkenaan hadir ke pejabat jabatan bagi membantu siasatan.
“Jika pemilik kenderaan gagal hadir, saman akan dikeluarkan kerana gagal mematuhi notis itu. Kesalahan berkenaan membawa kompaun maksimum RM300 dan jika disabitkan kesalahan di mahkamah, denda sehingga RM2,000 boleh dikenakan,” katanya.
Zulkarnain berkata, tindakan lanjut akan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan sekiranya hasil siasatan mendapati wujudnya kesalahan.
“Sebagai contoh, jika siasatan membabitkan kesalahan cukai jalan, kedua-dua pemandu dan pemilik kenderaan boleh dikenakan saman yang menghendaki mereka menyelesaikan kes itu di mahkamah.
“Jika disabitkan kesalahan, setiap seorang boleh dikenakan denda sehingga RM2,000,” katanya.
Beliau berkata, kesalahan memandu tanpa lesen memandu akan menyebabkan pesalah didenda antara RM300 hingga RM2,000.
Rakaman video dimuat naik di TikTok itu mendakwa warga asing menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang haram di beberapa kawasan di Johor.
Kenderaan itu, yang lazimnya dikenali sebagai “kereta sapu”, dipercayai digunakan sebagai teksi persendirian tanpa lesen, dengan warga asing terbabit didakwa mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM50 kepada penumpang, bergantung pada jarak perjalanan.
Setiap kenderaan dikatakan membawa sehingga lima penumpang, dengan tambang dikutip secara individu.
Perkhidmatan itu juga menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan dan liabiliti, memandangkan penumpang yang menaiki kenderaan sedemikian mungkin tidak dilindungi oleh insurans sah bagi pengangkutan penumpang komersial sekiranya berlaku kemalangan.







