Buletin

MYTUKAR KEMBANGKAN OPERASI KE SABAH DAN SARAWAK

myTukar Sdn Bhd, platform jual-beli kenderaan terpakai secara atas talian yang kian pesat membangun di Malaysia mengumumkan pengembangannya ke pasaran Malaysia Timur dengan pembukaan dua hab pemeriksaan myTukar yang pertama di Kuching dan Kota Kinabalu.

Jualan kenderaan terpakai menunjukkan peningkatan yang positif terutama pada suku ketiga tahun 2020, walaupun sewaktu pandemik melanda. Menurut MAA (Persatuan Automotif Malaysia), jualan kenderaan terpakai meningkat 100 peratus pada enam bulan pertama tahun 2020.

“Ketika ini, hanya sekitar 26 peratus pengedaar kenderaan terpakai di sana yang menjalankan transaksi secara atas talian.

“Memandangkan misi myTukar adalah untuk memudahkan proses penjualan secara digital, kami yakin ini merupakan masa terbaik untuk memasuki pasaran yang belum lagi diterokai.

“Platform myTukar yang inovatif ini dapat memberikan sokongan yang diperlukan oleh pengedar kenderaan di sana. Seterusnya dapat meningkatkan jualan mereka melalui ekosistem yang cepat, efisien dan jimat,” kata Ketua Pengarah Eksekutif myTukar, Fong Hong Sum.

Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,325km yang dijangka siap pada 2023 menjadikan perjalanan darat lebih selamat dan selesa kepada  3.74 juta penduduk.

Projek pembangunan mega itu bakal memberi kesan pengganda ke atas ekonomi, termasuk pasaran automotif dan kira-kira 369 pengedar kenderaan terpakai di Sabah dan Sarawak.

Pengembangan myTukar ke pasaran Sabah dan Sarawak selaras dengan pelan peningkatan untuk 2021. Sekali gus memberi impak yang besar terhadap pertumbuhan pasaran kenderaan terpakai di sana.

Oktober lalu, myTukar mengumumkan pelan pengembangan yang pesat dengan pembukaan tujuh cawangan baharu pada 2020, menjadikan keseluruhannya sebanyak 15 cawangan di seluruh negara.

Sehingga kini, myTukar memiliki sehingga 2,000 rangkaian pengedar dengan transaksi lebih 27,000 unit kenderaan bernilai RM805 juta.

Google ads
Back to top button