
NAK BAWA KERETA PERGI LITAR, BRIAN JAMES TRAILER PERKENAL RT7, DARIPADA RM150 RIBU!
Kerjaya dan hobi berlumba lebih lengkap sekiranya mempunyai treler untuk membawa kereta lumba dan perkakasan dari satu acara ke satu acara.
Tidak wajib kerana boleh disewa dan lebih murah dan seperti yang dikatakan lebih lengkap selain ruang kosong pada badan treler dapat dimanfaatkan untuk menonjolkan penaja.
Di antara pengeluar treler terkenal ialah Brian James Trailer (BJT) yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu.
Terbaru BJT memperkenalkan treler tertutup Race Transporter 7 (RT7) dengan berat sekitar 200 kilogram (kg) lebih ringan berbanding Race Transporter 6 (RT6).

Berat berkurang bermakna lebih banyak beban boleh dibawa. Had berat untuk menunda di United Kingdom ialah 3.5 tan termasuk treler.
Kereta hari ini semakin besar dan berat terutama sekali kenderaan elektrik (EV) namun tiada tanda-tanda had tunda akan dinaikkan.
Satu penyelesaian yang boleh dibuat ialah dengan mengeluarkan treler lebih ringan seperti RT7.
Treler RT7 ditawarkan dalam warna hitam atau putih dan jenis tiga gandar atau dua gandar. Pembeli juga boleh mendapatkan versi lebih tinggi.

Tidak hanya treler kosong, RT7 dilengkapi perkakasan canggih seperti penggerak (actuator) elektrik dengan kawalan tanpa wayar untuk pintu belakang dan penurunan pelantar.
Tidak perlu guna cara manual! Bateri dalaman menguasakan penggerak pintu belakang, pelantar, winc dan lampu dalam treler.
Bateri itu dibekalkan bersama pengecas dan sambungan Bluetooth bagi memeriksa tahap tenaga bateri dari telefon dan penunjuk LED.
Pelantar elektrik dikuasakan penggerak pada bahagian depan dan tidak memerlukan kerja-kerja manual selain memberikan jarak permukaan bumi yang rendah.

Tambahan bantuan (pilihan) pelantar boleh digunakan untuk kereta yang rendah atau kereta lumba.
Winc elektrik baharu dengan tali sintetik dan operasi tanpa wayar lebih ringan dan kurang merosakkan tangan dan badan berbanding tali beli. Pelanggan boleh memesan winc dengan keupayaan 4.75 tan.
Dari segi reka bentuk, RT7 tampil dengan rekaan premium pada bahagian luar dan dalam. Binaan pintu sisi menggunakan kemasan aluminium berbanding plastik dan getah yang biasa digunakan.
Badan RT7 dibuat dari komposit dan hasil kerjasama di antara BJT dan pakar plastik bertetulang kaca (GRP), Quantum Mouldings yang sebelum ini terlibat dalam pembangunan kereta sport Ultima RS.

Lantai komposit RT7 lebih ringan dan kuat berbanding dek biasa dan mempunyai lebih cengkaman selain lebih mahal.
Selain itu, RT7 dilengkapi lampu LED di sekeliling badan dari depan, tepi dan belakang termasuk lampu mengundur pada bahagian sisi.
Lampu muatan belakang menyala secara automatik apabila pintu belakang dibuka. Bahagian dalam dilengkapi jaluran lampu ukuran penuh.

Lampu dalaman boleh dikuasakan menggunakan bateri 12V atau dari kenderaan tunda. Rim aloi dua warna dan penutup tayar ganti dibekalkan sebagai ciri asas.
RT7 sekarang ini ditawarkan dalam jenis dua gandar dengan ukuran panjang lantai 5.5 meter dan 6 meter dan lebar 2.1 meter atau 2.3 meter.
Harga bermula daripada 25,550 pound (RM149,657).













