
WRC 2024 - SISTEM PUNGUTAN MATA BAHARU AKAN DIPERKENALKAN MUSIM INI
Persaingan sengit untuk pungutan mata bagi kempen FIA World Rally Championship (WRC) 2024 akan berbeza dari musim sebelumnya. Atau dalam erti kata lain, anda mungkin tidak lagi akan melihat pemandu memandu secara santai pada saingan hari Ahad sekiranya telah mengumpul masa yang selesa di hadapan pesaing.
Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh International Automobile Federation (FIA) selaku badan yang bertanggungjawab mengawal selia dunia sukan permotoran. Mengikut kiraan lama, pungutan mata hanya dikira pada hari terakhir dengan mengikut kedudukan terkini. Siapa sampai dahulu garisan penamat, maka 25 pungutan mata akan diberikan. Dan jikalau pemandu tersebut turut mengungguli saingan Power Stage, maka tambahan lima mata bonus akan diberikan sekali gus mengutip 30 mata maksimum.

Namun, perkiraan baharu ini akan berubah. Berubah dengan agak drastik. Bermula dengan perlumbaan di Monte Carlo, pungutan mata boleh ditentukan sedari tamat saingan hari Sabtu lagi apabila ianya akan menawarkan mata maksimum 18 mata untuk tempat pertama, 15 mata untuk tempat kedua, 13 mata untuk tempat ketiga dan urutan menurun satu mata ( 12 hingga 1 mata) sehingga ke tempat kesepuluh keseluruhan.
Mata berikutnya akan diberikan untuk saingan hari Ahad dengan pemenang terpantas akan memperolehi tujuh mata dengan pemenang kedua memperolehi enam mata, ketiga memperolehi lima mata sehinggalah ke tempat ketujuh keseluruhan hanya satu mata berharga. Tambahan lima mata seperti biasa juga boleh dikejar oleh pemandu untuk peringkat Power Stage dengan menjadikan pemenang tempat pertama dan hari kedua serta Power State (pemandu yang sama) akan memperolehi 30 mata maksimum.
Akan tetapi semua itu ada syaratnya yang harus dipatuhi oleh semua pemandu. Untuk membolehkan mereka mengutip mata pada hari Sabtu, pemandu harus menamatkan saingan pada perlumbaan hari Ahad. Sekiranya terpaksa bersara dan tidak menamatkan perlumbaan pada hari Ahad, maka tiada kutipan mata akan diberikan tanpa mengambil kira kedudukan pada hari Sabtu.
Menurut FIA, langkah ini diambil bagi mengelakkan Sunday Drive, khususnya buat pemandu yang telah mempunyai kelebihan pada saingan hari Sabtu dan mula menyimpan tayar pada saingan hari Ahad bagi membolehkan pemandu tersebut mengejar mata tambahan di Power Stage.

Selain daripada itu, cadangan untuk jentera Rally1 tidak menggunakan sistem hibrid diluluskan penggunaannya bagi musim ini. Perkara ini telah lama disuarakan oleh pasukan M-Sport Ford atas alasan mereka mahu menyewakan jentera mereka sekali gus memberikan peluang buat pemandu lain memandu jentera Rally1 dengan kos yang lebih murah.
Tetapi menurut FIA, jentera Rally1 tersebut harus menggunakan kotak dummy sistem hibrid tersebut dengan minimum berat 100kg bagi menyamai sistem hibrid yang dipasang pada jentera Rally1 yang lain. Malah pemandu yang memandunya tidak layak untuk mengikut mata bagi pasukan yang diwakili kelak.
BACA : M-SPORT FORD AKAN MEMBARISKAN DUA PEMANDU MUDA UNTUK SAINGAN WRC 2024

