Buletin

PROTON CATAT HASIL JUALAN TERBAIK SEJAK 2012 – 154,611 UNIT TERJUAL PADA 2023, MENINGKAT 9.3 PERATUS

Proton Holdings Bhd (PROTON) mencapai prestasi jualan terbaiknya sejak 2012, apabila menjual 154,611 unit untuk pasaran domestik dan eksport bagi tahun 2023.

Angka tersebut sekali gus mencatatkan pertumbuhan bagi lima tahun berturut-turut, mengatasi rekod tahun 2022, 141,432 unit.

Menurut PROTON, jualan 2023 mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 2022. Penguasaan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 794,948 unit.

Hasilnya, PROTON turut menamatkan 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan, pencapaian tahun kelima berturut-turut dalam mengekalkan kedudukannya.

Tambahnya lagi, pelancaran barisan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) PROTON yang terdiri daripada Proton X50, X70 dan X90 telah menambah lebih 200,000 unit kepada jumlah jualan sejak Disember 2018, namun peningkatan semula permintaan untuk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) telah memacu pertumbuhan jualan pada 2023.

Selain itu, Proton Saga memulakan dan mengakhiri tahun lalu sebagai model Proton terlaris dengan mencatatkan jualan 70,184 unit, prestasi terbaiknya sejak 2012, sekali gus meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia.

Peningkatan terbesar dalam rangkaian model PROTON adalah Proton Persona meskipun mengalami kelewatan teruk akibat kekurangan cip pada 2022.

Namun, tahun 2023 menjadi saksi jualan untuk sedan segmen B itu melonjak semula sebanyak 48.9 peratus kepada 24,362 unit, meletakkan model itu di tempat kedua dalam kelasnya.

Kereta ‘hatchback’ segmen B, Proton Iriz turut terjejas oleh isu cip tahun lalu dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 33.8 peratus kepada 7,639 unit pada 2023.

Proton Exora mengakhiri pengeluarannya dengan kenaikan jualan sebanyak 4.6 peratus iaitu 4,473 unit terjual dan menunjukkan bahawa permintaan di kalangan pembeli pasaran sasaran kekal kukuh.

Sehingga kini, lebih 194,000 unit telah terjual, menjadikannya kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.

Bagi SUV siri X, Proton X50 dan Proton X90 mengakhiri tahun sebagai peneraju pasaran bagi segmen masing-masing.

Permintaan untuk Proton X50 kekal kukuh dengan 31,829 unit dijual di Malaysia dan pasaran eksport pada 2023, manakala X90 pula terus menjadi kuasa dominan dalam pasaran SUV segmen D, mengakhiri tahun dengan 4,815 unit terjual sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023.

Bagi Proton X70, SUV segmen C kedua paling popular bagi 2023 pula dijual sebanyak 11,200 unit terjual.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, 2023 menjadi satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif disokong jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding jumlah tertinggi sebelumnya.

“Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir bulan Mac tidak syak lagi mendorong peningkatan jumlah pada suku pertama tahun itu.

“Tetapi, ia juga menjadi tahun yang aktif untuk pelancaran kereta dengan gangguan minimum, disebabkan oleh kekurangan alat ganti,” katanya.

“Menjelang tahun 2024, kami yakin kami akan mengekalkan momentum ini, disokong oleh pengenalan model baharu kami S70.

“Bagi Proton S70, penghantaran pelanggan akan bermula pada tahun 2024 dan sehingga kini, lebih 5,000 tempahan telah diterima. Jadi, dijangka model itu bakal menyumbang kepada jumlah jualan yang banyak pada tahun ini.”

Google ads
Back to top button