
NEXEN TIRE PERKENAL DUA TAYAR BAHARU UNTUK PASARAN MALAYSIA; N’BLUE S DAN N’FERA PRIMUS UX
NEXEN TIRE memperkenalkan dua rangkaian tayar baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu N’BLUE S dan N’FERA PRIMUS UX yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan serta kestabilan pemanduan dalam pelbagai keadaan jalan raya.
Kedua-dua tayar itu mengambil kira keadaan cuaca tempatan yang panas dan kerap mengalami hujan lebat, selain keperluan pemanduan jarak jauh di lebuh raya.
N’BLUE S merupakan tayar kategori touring yang direka khusus untuk memberikan cengkaman lebih baik di jalan basah. Corak bunga tayarnya membantu mengalirkan air keluar dari permukaan sentuhan dengan jalan raya sekali gus mengurangkan risiko aquaplaning.

Struktur berintangan golekan rendah yang digunakan turut membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api. Tayar ini juga pernah digunakan sebagai kelengkapan asal bagi model terpilih seperti Volkswagen Golf dan Audi A3.
Untuk pasaran Malaysia, N’BLUE S ditawarkan dalam 110 pilihan saiz bagi rim berukuran 14 hingga 17-inci.
Sementara itu, N’FERA PRIMUS UX merupakan tayar berprestasi ultra tinggi (UHP) yang menggunakan struktur diperkukuh bagi meningkatkan kestabilan ketika pemanduan pada kelajuan tinggi, khususnya di lebuh raya.
NEXEN TIRE turut mendakwa model itu mempunyai jangka hayat bunga tayar kira-kira 20 peratus lebih panjang berbanding generasi sebelumnya.
Menerusi konsep One Universal Fit, N’FERA PRIMUS UX turut direka untuk digunakan pada pelbagai jenama kenderaan dari Eropah, Jepun, Korea Selatan dan China.

Menariknya, kedua-dua rangkaian tayar berkenaan sesuai digunakan pada kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Ia turut dilengkapi tanda EV ROOT yang menunjukkan keupayaan tayar memenuhi keperluan EV, termasuk menampung berat kenderaan lebih tinggi serta penghantaran tork serta-merta.
Dalam usaha memberikan perlindungan tambahan kepada pelanggan, NEXEN TIRE menawarkan Program Pertukaran yang menyediakan penggantian tayar satu dengan satu dalam tempoh enam bulan bagi kerosakan yang layak akibat bahaya jalan raya.
Program itu tertakluk kepada syarat ditetapkan dan hanya tersedia melalui pengedar terlibat. Pelanggan perlu mendaftarkan tayar ketika pembelian untuk menikmati perlindungan berkenaan.
NEXEN TIRE Malaysia turut dalam proses membangunkan program waranti khusus untuk pasaran tempatan bagi memperkukuh sokongan selepas jualan kepada pengguna.
Maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak.
GALERI:
N’FERA PRIMUS UX:








N’BLUE S:











