
KURANG 1 PERATUS PENGGUNA BUDI95 GUNA LEBIH 200 LITER SECARA KONSISTEN
Kurang satu peratus pengguna BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan lebih 200 liter petrol secara konsisten berdasarkan analisis data penggunaan antara Oktober 2025 hingga Mei 2026.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dapatan itu menjadi antara asas kerajaan menetapkan had kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 200 liter sebelum dinaikkan semula kepada 300 liter mulai 1 September lalu.
“Penetapan had kelayakan asas BUDI MADANI sebanyak 200 liter ini dibuat berdasarkan analisa data pengguna sebenar BUDI 95 antara Oktober 2025 hingga Mei 2026, iaitu kurang daripada 1% pengguna BUDI95 menggunakan lebih daripada 200 liter RON95 secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pelarasan had kelayakan itu sebelum ini dibuat bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
Katanya, perbelanjaan subsidi RON95 dan diesel meningkat daripada kira-kira RM700 juta sebulan pada Januari 2026 kepada hampir RM5 bilion pada Mac, sebelum mencecah RM7.5 bilion sebulan ketika krisis berkenaan.
“Sepanjang tempoh had 200 liter dilaksanakan, rakyat Malaysia yang layak dapat terus menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala harga pasaran sebenar hanya terpakai kepada pihak yang tidak layak,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan BUDI95 secara keseluruhan dijangka menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.
Penjimatan berkenaan akan dimanfaatkan semula bagi memperkukuh bantuan bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – Buletin TV3








