
NISSAN SENTRA SPEC-V CONCEPT TAMPIL GARANG, KUASA 300HP DAN TRANSMISI MANUAL
Nissan memperkenalkan gambaran baharu tentang potensi sebuah sedan kompak berprestasi tinggi menerusi Sentra Spec-V Concept, model konsep yang diinspirasikan daripada legasi Sentra SE-R dengan kuasa sehingga 300hp dan transmisi manual enam kelajuan.
Model konsep itu dibangunkan berasaskan Nissan Sentra generasi terkini, tetapi menerima pelbagai pengubahsuaian bagi meningkatkan prestasi enjin, pengendalian dan keupayaan di litar lumba.
Jantung utamanya ialah enjin MR20DD 2.0 liter pengecas turbo yang dikatakan mampu menghasilkan 300hp, jauh mengatasi output kurang daripada 150hp bagi Sentra standard.

Bagi menampung peningkatan kuasa tersebut, Nissan melengkapkan enjin dengan komponen dalaman dipertingkatkan, termasuk rod penyambung Carrillo, piston JE serta pengecas turbo Garrett G25 dan intercooler yang dipasang di bahagian hadapan.
Sistem bahan api turut dinaik taraf menerusi pam berkapasiti lebih tinggi, manakala komponen pengikat enjin diperkukuh bagi meningkatkan ketahanan ketika beroperasi pada tahap prestasi tinggi.
Kuasa disalurkan melalui kotak gear manual enam kelajuan yang dipadankan dengan roda tenaga ringan Centerforce serta pembeza gelinciran terhad (LSD) daripada Nissan Juke Nismo RS.

Dari segi reka bentuk, Sentra Spec-V Concept tampil lebih agresif dengan kit badan lebar, bonet berlubang pengudaraan dan sistem ekzos keluar di sisi. Tempat duduk hadapan Recaro serta spoiler belakang yang diinspirasikan daripada Nissan GT-R turut melengkapkan penampilannya.
Sistem membrek pula menggunakan komponen daripada GT-R Nismo, manakala pengendalian dipertingkatkan menerusi suspensi gegelung Nismo dengan penyerap hentak hadapan yang dilengkapi takungan luaran. Tetapan suspensi itu juga disesuaikan untuk kegunaan di litar.
Melengkapkan pakej prestasi ialah rim tempa Nismo LM-RS1 berukuran 19-inci yang dibalut tayar Yokohama Advan selebar 265mm.

Walaupun masih berstatus model konsep, Sentra Spec-V menunjukkan bagaimana Nissan boleh menghidupkan semula formula sedan kompak berprestasi tinggi yang pernah menjadikan Sentra SE-R popular dalam kalangan peminat automotif.
Bagaimanapun, Nissan belum mengumumkan sebarang rancangan untuk membawa model konsep berkenaan ke peringkat pengeluaran.
Versi produksi dengan spesifikasi lebih sederhana berpotensi menjadi pilihan menarik buat peminat yang mahukan kereta berprestasi tinggi tanpa perlu beralih kepada model premium lebih mahal.



