
TESLA CYBERCAB DIPAMERKAN DI MALAYSIA, BERMULA DI MID VALLEY MEGAMALL, 29 OKTOBER HINGGA 1 NOVEMBER
Tesla Cybercab, kenderaan elektrik autonomi dua tempat duduk yang dibangunkan khusus untuk perkhidmatan robotaksi, secara rasmi membuat penampilan sulung di Malaysia menerusi siri jelajah bermula 29 Oktober hingga 22 November ini.
Pameran pertama berlangsung di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, dari 29 Oktober hingga 1 November sebelum diteruskan ke tiga lokasi lain, termasuk Selangor dan Pulau Pinang.
Menurut Tesla Malaysia, Cybercab akan dipamerkan di Sunway Square Mall, Selangor, dari 3 hingga 9 November, di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, pada 10 dan 11 November, serta di Gurney Plaza, Pulau Pinang, dari 13 hingga 22 November.

Jelajah berkenaan merupakan sebahagian daripada pengenalan teknologi mobiliti autonomi Tesla di rantau Asia Tenggara, selepas kenderaan itu dipamerkan di Singapura awal bulan ini.
Bagaimanapun, kehadiran Cybercab di Malaysia setakat ini hanya untuk tujuan pameran teknologi dan bukannya petunjuk bahawa Tesla akan memperkenalkan perkhidmatan robotaksi autonomi di negara ini dalam masa terdekat.
Cybercab tampil dengan reka bentuk badan dua pintu menyerupai coupe liftback, termasuk pintu jenis rama-rama yang dibuka ke atas serta kemasan luaran berwarna keemasan.
Ruang kabinnya menampilkan pendekatan minimalis dengan dua tempat duduk, skrin sentuh tengah berukuran 22-inci dan suis tingkap. Menariknya, kenderaan ini tidak dilengkapi stereng, pedal pemecut atau pedal brek konvensional, selaras dengan konsep pemanduan autonomi yang menjadi teras pembangunannya.

Bagi ruang penyimpanan, Cybercab menawarkan kapasiti but sebanyak 572 liter dengan keupayaan membawa muatan sehingga 100 kilogram.
Tesla menyatakan ruang itu mencukupi untuk memuatkan dua beg pakaian daftar masuk dan dua beg kabin.
Maklumat pensijilan EPA yang dilaporkan sebelum ini pula menunjukkan Cybercab menggunakan motor elektrik tunggal pacuan roda hadapan dengan kuasa 163kW (219hp), dipadankan dengan pek bateri yang dianggarkan berkapasiti 48kWj.
Keputusan ujian makmal yang tidak dilaraskan merekodkan jarak 673 kilometer. Namun, selepas menggunakan faktor pelarasan lazim EPA, jarak pemanduan gabungan dianggarkan sekitar 472 kilometer.

Tesla turut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk menyertai sesi penerangan berpandu selama 15 minit dengan pendaftaran awal.
Pengunjung yang melengkapkan pandu uji Model 3, Model Y atau Model Y L sepanjang pameran juga layak menerima hadiah eksklusif Cybercab, tertakluk pada terma yang ditetapkan.
Pendaftaran sesi penerangan dan pandu uji boleh dibuat menerusi laman web rasmi Tesla Malaysia.












