
CFMOTO 800MT-ES TIBA DI EROPAH – DENGAN SUSPENSI ELEKTRONIK, RADAR
CFMOTO memperluaskan tawaran motosikal adventure dengan pelancaran 800MT-ES di pasaran Eropah.
Selepas membuat debut rasmi di EICMA 2025, CFMoto akhirnya mula memperkenalkan 800MT-ES ke pasaran Eropah dengan harga jualan GBP8,698 (RM47.6k).

Untuk rekod, 800MT-ES ini merupakan model paling canggih dan berteknologi tinggi bagi keluarga MT. Ini kerana varian terbaru ini merupakan motosikal pertama CFMoto yang dilengkapi dengan suspensi elektronik Intelligent Suspension System (ISS) dan teknologi radar.
ISS berfungsi menyelaraskan redaman (damping) secara automatik ketika menunggang agar tetapan terbaik dapat dicapai ketika bergerak. ISS ini dipadankan bersama fork USD 41mm depan dan monoshock 74mm belakang, masing-masing dengan jarak gerak 160mm (depan) dan 150mm (belakang).

Menariknya, penunggang juga dapat membuat tetapan sendiri dengan empat pilihan pra-beban. CFMoto juga menawarkan tiga tetapan redaman merangkumi Comfort, Standard dan Sport.
Selain ISS, 800MT-ES ini turut menawarkan 6-Axis IMU (inertial measurement unit) yang menyokonga Bosch MSC (Motorcycle Stability Control) lantas menawarkan fungsi seperti cornering ABS, lean-sensitive traction control, engine braking dan wheelie control.

Pakej brek pula terdiri dari kaliper J.Juan depan dan belakang masing-masing dengan cakera 320mm dan 260mm.
Menggerakan 800MT-ES ini adalah unit parallel-twin 799cc yang diambil dari KTM dan berupaya menjana 94hp pada 9,000rpm dan 77Nm pada 6,500rpm. Trenkuasa ini dipadankan bersama transmisi manual 6-kelajuan dengan klac slipper dan quickshifter (bi-directional) secara standard.
Empat mod kuasa ditawarkan yang terdiri dari Sport, Rain, Off-Road dan All-Terrain.

Dalam pada itu, antara kelengkapan standard lain ditawarkan termasuk:
- skrin TFT 8-inci
- cruise control
- TPMS
- grip pemanas
- tempat duduk dengan pemanas
- steering damper
Untuk rekod, 800MT-ES ini turut dilengkapi dengan Radar Detection System yang menawarkan fungsi seperti blind-spot detection, lane change assist dan rear collision warning.
Berbanding 800MT-X yang dilengkapi rim 21-inci depand an 18-inci belakang, 800MT-ES pula menawarkan tayar 19-inci depan dan 17-inci belakang.
GALERI: CFMOTO 800MT-ES




















