
NISSAN GT-R R32 EV BAKAL MUNCUL DI TOKYO AUTO SALON 2025
Sejak Mac 2023, Nissan telah mencetuskan keterujaan apabila memulakan projek kontroversi, memperkenalkan model elektrik untuk model legenda, GT-R R32.
Projek ini yang dibangunkan oleh sekumpulan jurutera sukarela akhirnya sedia dipertontonkan kepada umum pada Tokyo Auto Salon 2025.
Menariknya, enjin petrol RB26DETT yang menjadi nadi utama kereta ini telah digantikan sepenuhnya dengan sistem pacuan elektrik.
Setakat ini, Nissan hanya berkongsi satu imej rasmi GT-R R32 elektrik ini. Namun, sebelum ini, model tersebut telah dipertontonkan secara ringkas pada penghujung bulan lalu di acara R’s Meeting di Fuji Speedway, Jepun.

Nissan menjelaskan bahawa projek ini bertujuan “menangkap dan mencipta semula tarikan BNR32 dengan menggabungkan teknologi elektrifikasi moden.”
Dari segi reka bentuk, rupa luaran kereta ini hampir sama seperti model asal, namun terdapat beberapa perubahan ketara seperti lampu kabus yang dikeluarkan dan angkup brek kini berwarna jingga.
Walaupun spesifikasi teknikal masih dirahsiakan, ramai pemerhati menjangkakan model ini masih mengekalkan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar.
Sebagai perbandingan, model Ariya Nismo keluaran Nissan mempunyai kuasa sehingga 430hp dan tork 443 lb-ft, jauh lebih tinggi daripada kuasa asal 276hp dan 271 lb-ft yang dihasilkan oleh enjin RB26DETT.
Namun, hakikatnya, enjin enam silinder tersebut mampu menghasilkan kuasa melebihi 300hp dalam keadaan standard dan boleh mencecah sehingga 2,000hp dengan modifikasi penuh.
Walaupun Nissan GT-R R32 elektrik ini dijangka kekal sebagai model satu-satunya, projek ini memberi bayangan bahawa generasi seterusnya “Godzilla” berkemungkinan besar akan beralih kepada elektrifikasi sepenuhnya.
Namun, bateri solid-state Nissan dijangka tidak akan tersedia sebelum tahun 2028, sekali gus menolak pelancaran GT-R generasi baharu ke penghujung dekad ini.
Sementara itu, GT-R R32 elektrik akan dipamerkan kepada umum di Tokyo Auto Salon pada 10 hingga 12 Januari 2025. Turut dipamerkan adalah model GT-R R35 Nismo Edisi Khas untuk pasaran Jepun.
- BACA: ADRIEN FOURMAUX MENANG DI RALLYE NATIONAL HIVERNAL DU DEVOLUY TEWASKAN KALLE ROVANPERA
- BACA: TEMPAHAN BEV DI THAILAND MENINGKAT DI THAILAND INTERNATIONAL MOTOR EXPO 2024
- BACA: SISMA AUTO HUB SUNGAI BESI: PUSAT 3S BERBILANG-JENAMA PREMIUM PERLUASKAN PERNIAGAAN DENGAN AP BAHARU
- BACA: PANDU UJI: LEAPMOTOR C10 – KABIN MEMANG LUAS, TAPI RASA KE SENTUHAN MASERATI TU?


