Buletin

ADRIEN FOURMAUX MENANG DI RALLYE NATIONAL HIVERNAL DU DEVOLUY TEWASKAN KALLE ROVANPERA

Pemandu rali Adrien Fourmaux terus mempamerkan aksi yang memberangsangkan ketika membuat debut bersama pasukan Hyundai Motorsport apabila berjaya memenangi perlumbaan rali Rallye National Hivernal du Dévoluy dengan memandu buat pertama kali jentera Hyundai i20 N dengan spesifikasi tahun 2025.

Menariknya, Adrien Fourmaux yang baru pertama kali mencuba jentera milik Hyundai untuk beraksi secara kompetetif itu berjaya menewaskan seorang lagi Bintang WRC dan juga mantan juara WRC dua kali, Kalle Rovanpera.

Pemandu dari Perancis itu berjaya menewaskan Kalle Rovanpera dengan kelebihan 15.5 saat dengan menggunakan tayar Hankook yang mana mereka merupakan pembekal tayar rasmi bagi musim 2025. Kalle Rovanpera turut memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 dengan spesifikasi tahun 2025.

“Ianya adalah permulaan yang bagus bersama Hyundai sama bagusnya ketika menamatkan bersama M-Sport (setelah memenangi Monza Rally Show sebelumnya). Ianya juga sangat bagus dapat menewaskan Kalle Rovanpera. Saya tidak menyangkakan ini tetapi ia bagus untuk beliau ada sekali untuk membolehkan perbandingan masa dibuat,” ujar Adrien Fourmaux.

Untuk rekod, Adrien Fourmaux terlebih dahulu menamatkan tugasan terakhir bersama pasukan M-Sport Ford dengan memandu buat kali terakhir jentera Ford Puma Rally1 dengan memenangi Monza Rally Show.

Menurut Adrien Fourmaux lagi, “Ianya adalah sukar untuk memandu sebuah jentera baharu ditambah dengan permukaan yang berubah daripada bersalji, kemudian mencair serta permukaan yang membeku serta cukup mencabar. Kami banyak kali menukar dan mencuba beberapa tetapan sepanjang rali ini berlangsung tetapi ianya cukup selesa ketika kami menamatkan perlumbaan.”

Sementara itu, Kalle Rovanpera berkata beliau telah bersedia untuk kembali beraksi secara semusim penuh sekali gus memburu kejuaraan WRC buat kali ketiga setelah beraksi hanya separuh masa pada musim 2024 ini.

Sebagai langkah persediaan musim hadapan, Kalle Rovanpera telah mengambil bahagian dalam perlumbaan Rallye National Hivernal du Dévoluy dalam keadaan permukaan bersalji menjelang aksi pembukaan WRC 2025 di Rallye Monte-Carlo pada 23 – 26 Januari 2025 tetapi tewas kepada Adrien Fourmaux.              

BACA : WRC 2025 – ADRIEN FOURMAUX KINI SAHIH SERTAI PASUKAN HYUNDAI MOTORSPORT

BACA : WRC 2023 – KALLE ROVANPERA BERJAYA MUNCUL JUARA WRC 2023!

Google ads

B K

Back to top button