Artikel Pilihan

NISSAN MARCH SUPERTURBO, GABUNGAN SUPERCAJ DAN TURBO

Untuk mana-mana individu yang pernah mengambil kelas Thermodinamic, anda tahu anda bukan belajar berkenaan thermos yang bergerak. Anda akan belajar berkenaan pergerakan gas apabila dikenakan haba dan tenaga. Ia memiliki sifat sukar untuk dijangka, sama seperti bini anda di rumah. Sekejap OK, sekejap kurang OK

Dalam Thermodinamic, salah satu cara untuk meningkatkan kecekapan enjin ialah dengan menggunakan turbo ataupun supercaj. Biasanya kereta Jepun banyak guna turbo manakala kereta Continental cenderung untuk menggunakan supercaj. Sehinggalah Volkswagen melancarkan Golf MK6 pada tahun 2008 dengan beberapa pilihan tawaran enjin

Sebagai contoh enjin petrol 1400cc ditawarkan dengan 3 pilihan samaaada 1400cc NA yang menghasilkan 78 kuasa kuda dan 132Nm tork. Jika ditambah turbo, ia akan menjana 120 kuasa kuda dan 200Nm tork. Tapi jika unit ini menggabungkan turbo dan supercaj pada varian 1.4TSi, ia akan menjana 158 kuasa kuda dan 240Nm tork, hampir 2 kali ganda berbanding dengan versi NA

Sebenarnya Volkswagen bukanlah pengeluar pertama yang menggabungkan turbo dan supercaj pada satu unit kerana pada tahun 1989 Nissan adalah pengeluar pertama di dunia buat benda yang sama pada kereta kompak supermini mereka iaitu Nissan Micra generasi pertama iaitu Nissan Micra K10.

Ketika mula-mula dilancarkan, ia hanya dibekalkan dengan enjin 4 silinder 987cc SOHC 8 injap yang menghasilkan 51 kuasa kuda dan 74Nm tork sahaja disebabkan nisbah mampatan hanyalah 9.5:1. Ia direndahkan agar enjin (M10S) ini boleh beroperasi dengan petrol RON90. Memang ia direka dengan 1000cc sahaja untuk mengelakkan cukai jalan yang tinggi serta penjimatan petrol yang bagus

Mudah saja Nissan nak buat Micra ni jimat petrol. Pertama ia menggunakan gear yang tinggi dan kedua cesi yang ringan. Kelemahan teknik sebegini ialah pecutan Micra tak kuat dan bila pandu jauh akan rasa penat sebab bising kerana bahan kedap bunyi adalah sangat minima. Varian yang dijual di Eropah menggunakan nisbah mampatan yang lebih tinggi bagi menghasilkan 54 kuasa kuda.

M10ET

Bila Micra dinaiktaraf pada tahun 1985, ia menerima enjin baru yang diberi kod M10ET dengan unit turbo bagi menghasilkan 84 kuasa kuda dan 112Nm tork. Pada masa ini, penjimatan petrol letak nombor 2 sebab paling utama kuasa mesti dinaikkan bagi bersaing dengan Daihatsu. Satu budaya dan cara Jepun untuk memasarkan kereta ini ialah dengan mengadakan perlumbaan.

Jadi Nismo buat satu siri perlumbaan yang diberi nama “March Little Dynamite Cup Race” pada tahun 1987 dengan satu unit dihasilkan khas oleh NISMO bagi tujuan sewaan di litar. Masalahnya ramai yang minat dengan Nissan March yang NISMO buat ini sehingga mereka terpaksa buat 10,000 unit terhad homologasi untuk dijual.

Unit homologasi ini dikenali dengan nama Nissan March Super Turbo dan paling istimewa ialah enjin yang digunakan. Enjin MA09ERT berbeza dengan enjin asal Nissan March kerana ia hanya bersaiz 930cc sahaja, mengekalkan bilangan injap iaitu 8 serta dipacu dengan sistem SOHC. Nisbah mampatan juga direndahkan dari 9.5 kepada 7.7 bagi mengurangkan masalah kncoking.

Ini disebabkan enjin ini menerima 2 pendesak tekanan udara iaitu sistem turbo HT10 keluaran Hitachi dan juga satu unit supercaj. Semua udara ini akan disejukkan dengan sistem intercooler bagi memastikan yang enjin ini berupaya menghasilkan 108 kuasa kuda dan 130Nm tork, hampir 2 kali ganda berbanding dengan enjin asal NA M10S.

32 tahun dulu, teknologi turbo tidak sama dengan teknologi turbo seperti sekarang dan memang biasa untuk enjin turbo mengalami masalah turbo-lag. Bagi mengelakkan masalah ini, supercaj akan digunakan bagi menghasilkan boost pada RPM yang rendah. Tapi agak mengagumkan juga sebab jurutera Nissan berani menghasilkan enjin yang kompleks pada tahun 1989

Bayangkan enjin turbo biasa pun dah pening macam mana nak susun dan atur, apatah lagi enjin dengan 2 sistem iaitu turbo dan supercaj. Ditambah pula dengan sistem intercooler, ia menjadikan enjin sebegini sangat kompleks untuk dipakejkan dan dijaga. Namun tujuan utama enjin ini ialah prestasi kerana ia membolehkan Nissan March Superturbo memecut 0-100km/j dalam masa 7.7 saat dan halaju maksima 180km/j

Dalam masa 30 tahun juga sebenarnya teknologi turbo dan enjin menjadi semakin bagus. Sebagai contoh, enjin Nissan Almera N18 dengan kod HRA0DET 3 silinder turbo boleh menghasilkan 99 kuasa kuda dan 152Nm tork dengan menggunakan turbo sahaja. Tapi kena ingat, jika dulu enjin Nissan Super Turbo dihasilkan untuk prestasi, enjin Almera dihasilkan untuk kecekapan bahan api.

 

Google ads
Back to top button