Motosikal

MOTO GUZZI THE TRIP 500 DIUMUMKAN – ENJIN PARALLEL-TWIN, 47HP

Dalam usaha untuk kekal relevan di samping memastikan jenama Moto Guzzi terus kekal dalam pasaran, kilang Mandelli del Lario memperkenalkan The Trip 500 serba baharu. 

Buat pertama kalinya sejak era 80an, Moto Guzzi memperkenalkan motosikal dengan enjin parallel-twin selepas bertahun-tahun menawarkan model dengan enjin transverse V-Twin. 

Untuk rekod, The Trip 500 bakal menjadi motosikal dengan kapasiti enjin paling kecil dalam keluarga Moto Guzzi. 

Atas kertas, unit parallel-twin itu menawarkan 47hp dengan Guzzi menjelaskan tork hadir pada rev rendah bagi menawarkan pengalaman menunggang yang terkawal di dalam bandar. 

Ciri lain ditawarkan termasuk ride-by-wire yang menawarkan tiga mod menunggang, Road, Sport dan Rain. Quickshifter dan fungsi navigasi turn-by-turn ditawarkan sebagai ciri tambahan. 

Berat motosikal adalah 180kg dengan ketinggian tempat duduk diletakkan pada 790mm sementara tangki pula berkapasiti 15-liter. Ciri moden lain yang ada termasuk meter TFT 3.6”, lampu LED penuh serta butang switchgear bercahaya. 

Info lebih terperinci mengenai enjin masih belum didedahkan namun terdapat kemungkinan bahawa The Trip 500 ini mengguna pakai enjin 457cc yang terdapat pada motosikal Aprilia. 

Google ads
Back to top button