
NISSAN SERENA e-POWER C28 DEFINASI BARU MPV KELUARGA CEKAP TENAGA & BERKUASA
Kini memasuki generasi keenam, Nissan Serena e-POWER C28 bersedia untuk mentakrifkan semula peraturan dalam segmen MPV sekali lagi, menerusi sistem pacuan e-POWER tercanggih, tahap kehalusan kenderaan yang unggul serta dinamik pemanduan yang dipertingkatkan.
“Menggantikan sebuah peneraju kelas bukanlah satu tugas yang mudah, namun Nissan telah menjawab cabaran ini menerusi generasi keenam Nissan Serena e-POWER. Tiada cara yang lebih baik untuk membuktikan keupayaan Serena e-POWER selain menjemput pihak media untuk menjalani penilaian dua hari bersama MPV keluarga paling canggih di Malaysia,” kata Christopher Tan, Naib Presiden Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd.
Rekaan Berani dan Ekspresif, Dioptimumkan Secara Aerodinamik
Nissan Serena e-POWER C28 serba baru tampil bergaya di atas jalan raya dan menunjukkan imej berteknologi tinggi dari setiap sudut. Ia menampilkan interpretasi terkini gril ikonik Nissan V-Motion, digabungkan dengan lampu utama tiga projektor yang direka secara elegan, lampu nyalaan siang dan lampu kabus yang menggunakan teknologi LED.
Bampar hadapan yang dibentuk secara skulptur telah dioptimumkan dari segi aerodinamik dan dilengkapi dengan air curtain di kedua-dua sisi bagi mengurangkan olengan badan, sekali gus meningkatkan kestabilan serta kecekapan pemanduan.
Permukaan badan All-New Nissan Serena e-POWER telah direka semula untuk menghasilkan garisan bahu yang lebih kukuh, sambil mengekalkan profil tingkap bertingkat yang menjadi identiti Serena. Pillar pula direka langsing, paras ambang rendah dan tingkap bersaiz besar menawarkan penglihatan keluar yang sangat baik untuk penumpang di ketiga-tiga baris.
Penampilan ini dilengkapkan dengan pintu belakang baharu yang kini menampilkan lampu belakang LED berbentuk boomerang, dihubungkan dengan kemasan krom serta lencana model ‘Serena’ di bahagian atasnya.

Dipacu 100% Motor Elektrik, Tanpa Kebimbangan Jarak
Nadi kepada prestasi Serena e-POWER ialah sistem trenkuasa e-POWER generasi kedua, yang menampilkan motor elektrik dengan kuasa 163PS dan 315Nm untuk memacu roda. Ia digandingkan dengan enjin petrol 3 silinder HR14DDe 1.4L suntikan terus, khusus untuk e-POWER, yang dilengkapi teknologi Mirror Bore Coating Nissan bagi mengurangkan geseran, getaran dan bunyi.
Enjin pembakaran dalaman ini berfungsi sepenuhnya sebagai penjana dan beroperasi pada tahap kecekapan optimum untuk mengecas pek bateri litium-ion 1.77kWh Serena e-POWER, serta menyalurkan tenaga terus ke motor elektrik apabila diperlukan.
All-New Nissan Serena e-POWER menawarkan tiga mod pemanduan (Standard, Sport dan Eco), selain fungsi e-Pedal Step yang membolehkan pemanduan satu pedal dalam trafik bandar sambil meningkatkan regenerasi bateri. Kecekapan bahan api dinilai pada 18.5km/L (NEDC), dengan jarak perjalanan sehingga 1,000km.
Dinamik Pemanduan Baharu dan Pengurangan Motion Sickness
Nissan telah melengkapkan Serena e-POWER dengan penebat tambahan di kawasan utama seperti lantai, papan pemuka dan pintu, serta cermin hadapan akustik. Hasilnya ialah pengalaman kabin yang lebih senyap dan menenangkan, dengan pengurangan bunyi enjin, bunyi jalan serta bunyi angin.

Bagi mengurangkan motion sickness dalam kalangan penumpang, sistem suspensi hadapan serba baharu dan sistem stereng elektrik dengan ketegaran yang dipertingkatkan telah dibangunkan untuk mengurangkan olengan badan serta meningkatkan pengendalian dan kestabilan keseluruhan. Ciri brek kenderaan juga telah ditala semula bagi memastikan operasi brek yang lebih lancar.
Selain itu, aerodinamik dan aliran udara badan telah ditala untuk mengurangkan pergolakan serta rintangan angin lintang, sekali gus meningkatkan kecekapan bahan api, kestabilan dan kawalan bunyi. Tempat duduk baris pertama dan kedua juga telah direka semula menggunakan teknologi Zero Gravity bagi mengurangkan keletihan, pergerakan kepala, serta meningkatkan keselesaan dan sokongan.
Kabin Premium Berteknologi Tinggi
Ciri berteknologi tinggi All-New Nissan Serena e-POWER diteruskan ke papan pemuka dan antara muka pemandu, dengan dua skrin warna bersaiz 12.3 inci menjadi tumpuan utama, digandingkan dengan stereng kulit baharu rekaan flat bottom. Turut diperkenalkan ialah panel sentuh tengah khusus untuk kawalan mod pemanduan dan pendingin hawa, manakala pemilihan gear dilakukan melalui butang fizikal pada Electronic Shift Selector baharu.
Serena menawarkan 13 konfigurasi tempat duduk dengan pelbagai pilihan pembahagian ruang. Ciri ikonik Serena seperti laluan berjalan di dalam kabin, kerusi kapten gelongsor dua hala di barisan kedua, fungsi pintu belakang dwi-arah dan pintu gelangsar bebas tangan kini kembali sebagai ciri standard. Ia turut dilengkapi kemudahan tambahan seperti penyangkut tempat duduk, meja lipat pada baris kedua, port USB di setiap baris serta pad pengecasan tanpa wayar baharu di konsol tengah.
Keselamatan Termaju dengan Bantuan Pemandu Nissan ProPILOT
Bagi memastikan ketenangan fikiran sebelum setiap perjalanan, All-New Nissan Serena e-POWER dilengkapi secara menyeluruh dengan ciri keselamatan aktif dan pasif terkini hasil teknologi Nissan Intelligent Mobility dan 360° Nissan Safety Shield.
Ini termasuklah enam beg udara, sistem Around View Monitor (kamera 360°) serta teknologi bantuan pemandu ProPILOT terkini seperti Intelligent Cruise Control, Intelligent Lane Intervention dan Intelligent Blind Spot Intervention yang membantu memudahkan pemanduan jarak jauh di lebuh raya serta mengurangkan keletihan pemandu dalam trafik sesak.

Pelancaran pada Mac 2026
“Setelah pihak media menguji sendiri All-New Nissan Serena e-POWER yang memenangi anugerah di peringkat global, maklum balas positif yang kami terima membuatkan kami lebih teruja untuk memulakan penghantaran pada Mac 2026.
Walaupun landskap automotif semakin kompetitif, kami yakin All-New Nissan Serena e-POWER akan sekali lagi menaikkan penanda aras dalam kelas MPV dan mengukuhkan statusnya sebagai MPV terlaris,” ujar Christopher Tan semasa acara pandu uji media. Harga jualan dianggarkan antara RM160,000 hingga RM180,000.
All-New Nissan Serena e-POWER kini boleh dipratonton di bilik pameran terpilih Edaran Tan Chong Motor di seluruh Malaysia, dengan pelancaran rasmi dijadualkan pada Mac 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Nissan Malaysia atau hubungi 1-800-88-3838.

