
BMW GROUP MALAYSIA HANTAR LEBIH 10,800 UNIT PADA 2025
BMW Group Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di negara ini selepas menghantar lebih 10,800 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad sepanjang 2025, dengan 55 peratus daripadanya dipasang secara tempatan.
Syarikat itu turut mempertahankan status sebagai penyedia kenderaan elektrik (EV) premium utama Malaysia buat tahun keenam berturut-turut apabila lebih 2,700 unit model elektrik sepenuhnya berjaya dijual, mewakili 25.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penghantaran tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, jenama BMW menyumbang lebih 7,700 unit, MINI lebih 1,500 unit (naik 8.7 peratus), manakala BMW Motorrad melepasi 1,600 unit motosikal premium.

Dalam segmen EV, BMW iX2 xDrive30 M Sport muncul sebagai model paling laris dengan lebih 460 unit, diikuti BMW i5 eDrive40 M Sport dan BMW iX1 eDrive20 M Sport.
Bagi MINI, jualan kenderaan elektrik melebihi 700 unit, hampir separuh daripada keseluruhan jualan jenama itu.
BMW Group Malaysia juga mencipta sejarah apabila memperkenalkan BMW i5 eDrive40 M Sport Pro sebagai model elektrik pertama BMW yang dipasang di rantau Asia Pasifik, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau.
Bagi menyokong pertumbuhan EV, syarikat itu kini menawarkan akses kepada lebih 2,000 kemudahan pengecasan di seluruh negara melalui kerjasama dengan beberapa penyedia utama, selain kemudahan pengecasan di pusat pengedar sah BMW dan MINI.
Selain prestasi jualan, BMW Group Malaysia turut meneruskan pelaburan jangka panjang termasuk pembinaan Pusat Pengedaran Kenderaan baharu di Selangor yang dijangka beroperasi pada 2027, serta program pembangunan bakat tempatan bagi menyokong industri automotif elektrik.
- BACA: NISSAN SERENA e-POWER C28 DEFINASI BARU MPV KELUARGA CEKAP TENAGA & BERKUASA
- BACA: GERIMIS BAIDURI PERKUKUH OPERASI LOGISTIK DENGAN TRAK KUZER BAHARU
- BACA: SUV KECIL LEXUS JADI RAKSASA 1,000HP! ENJIN 2JZ BUAT VEYRON TERGAMAM
- BACA: HUAWEI MAEXTRO S800 BENAM PANAMERA, BMW 7 SERIES DAN MAYBACH DI CHINA








