
NISSAN SKYLINE R32 GT-R EV, RB26DETT DIGANTI MOTOR ELEKTRIK!
Kelompok peminat kereta baru-baru ini digemparkan dengan projek unik yang melibatkan kereta ikonik dari Jepun iaitu Nissan Skyline R32 GT-R EV.
Iya, GT-R R32 ditukar kepada kenderaan elektrik (EV). Projek ini diketuai oleh Ryozo Hiraku yang lama terlibat dalam rangkaian kuasa dan pembangunan teknologi EV.
Beliau sendiri peminat GT-R R32 dan bekas pemilik Skyline R32 dan bersemangat untuk menjadikannya kenyataan dan pada masa yang sama menjangkakan projek ini akan mencetuskan banyak kontroversi.
Hiraku mempunyai niat baik iaitu mahu menyampaikan kepada generasi masa depan tentang tarikan GT-R R32 yang beliau sendiri kagumi.
Dari luar, GT-R EV ni nampak seperti GT-R R32 biasa dengan warna gunmetal gray.
Satu perbezaan yang mudah dilihat pada rim 18 inci dan memperingatkan kepada rim 16 inci asal. Rim dipadan bersama tayar 235/45R 18.
Brek menyerlah dalam warna emas di sebalik rim dan satu lagi perbezaan nyata adalah tiada muncung ekzos keluar dari belakang.
Bagi menyamai prestasi enjin 2.6 liter turbo berkembar asal, GT-R EV dipasangkan motor elektrik di depan dan belakang berkuasa 160 kilowatt (218 ps) setiap satu dan boleh menjana daya kilas sehingga 340Nm.
Bateri 62 kilowatt-jam (kWj) dari Leaf NISMO RC02 dipasang pada ruang kerusi belakang yang ditanggalkan.
Matlamat kakitangan yang terlibat di dalam projek ini bukan untuk membangunkan kereta yang lebih berkuasa tetapi menghasilkan semula prestasi asal dengan kuasa 280 ps dan 353Nm.
Sebagai EV, berat kereta bertambah 370 kilogram (kg) kepada 1,797 kg namun kuasa dan daya kilas motor dilaraskan untuk mendapatkan nisbah daya kilas kepada berat seperti model asal GT-R R32.
Dari segi pengendalian, pasukan R32 EV bukan setakat mahu memaksimumkan kuasa dan pecutan tetapi juga menghasilkan semula keseronokan pemanduan GT-R R32.
Suspensi asal diganti dengan set suspensi sport dari Nismo yang diasaskan dari Öhlins yang menyediakan pengendalian optimal dan keselesaan pemanduan di sebalik tambahan berat.
Memandangkan R32 EV lebih berat, angkup dan cakera dari GT-R R35 menggantikan brek asal.
Pada bahagian dalam R32 EV kekal dilengkapi tombol gear dan pemandu merasa seperti tukaran gear sebenar menggunakan cekam.
Deruman enjin digantikan dengan bunyi enjin RB26DETT yang dikeluarkan dari pembesar suara.
Nissan juga mengekalkan sebanyak mungkin ciri-ciri asal dan menaik taraf beberapa bahagian yang perlu.
Meter diganti dengan panel LCD resolusi tinggi dan grafik seperti GT-R R32 yang tampil moden dan nostalgik. Kerusi Recaro menggunakan balutan seperti warna asal.
Walaupun memakan masa hampir dua tahun, Nissan tidak berhasrat untuk menjual model ubah suai R32 EV atau kit penukaran.
Kakitangan yang terlibat di dalam projek ini menerima pengetahuan berharga dan satu pengalaman berguna untuk pembangunan kenderaan Nissan pada masa depan.
Kredit gambar: Nissan











