
NISSAN UJI X-TRAIL BAHARU RHD DI HAKONE, LANCAR TAK LAMA LAGI
Kemunculan sebuah SUV berbalut penyamaran tebal di kawasan Hakone Turnpike, Jepun, mencetuskan spekulasi bahawa Nissan sedang giat menguji X-Trail generasi baharu untuk pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD).
Gambar kenderaan tersebut tular di media sosial menunjukkan sebuah model utiliti sukan yang sukar dikenal pasti kerana dilitupi pelekat penyamaran.
Namun, beberapa petunjuk menarik perhatian pemerhati industri, termasuk penggunaan nombor pendaftaran sementara dari Utsunomiya dan rekaan rim yang menyerupai model Nissan Murano di Amerika Utara.
Pemerhati industri percaya model berkenaan berkemungkinan besar merupakan versi baharu Nissan Rogue Hybrid, yang diperkenalkan di Amerika Syarikat pada September lalu. Seperti yang diketahui, Rogue ialah nama yang digunakan bagi X-Trail di pasaran Amerika Utara.
Apa yang menjadikan penemuan ini lebih menarik ialah kenderaan yang diuji didapati menggunakan konfigurasi stereng sebelah kanan.

Jika model itu hanya ditujukan untuk pasaran Amerika Utara, versi stereng kiri sudah memadai. Kehadiran versi RHD memberi gambaran bahawa Nissan mungkin sedang menyiapkan model tersebut untuk pasaran Jepun dan negara lain yang menggunakan konfigurasi sama.
Selain itu, Rogue Hybrid baharu bakal dipasang di kilang Nissan Motor Kyushu, Jepun. Dengan pengeluaran dilakukan di negara itu dan ujian jalan raya versi RHD sudah dijalankan, kemungkinan pelancaran X-Trail generasi baharu di Jepun dilihat semakin cerah.
Berdasarkan spesifikasi Rogue Hybrid yang diumumkan, model baharu itu dijangka menggunakan teknologi e-POWER generasi ketiga. Sistem tersebut menampilkan enjin turbo 1.5 liter yang dibangunkan khusus sebagai penjana kuasa, dengan kecekapan haba mencecah 42 peratus.
Gabungan itu dijangka menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, senyap dan responsif berbanding model sedia ada.
Bagi pasaran Amerika Utara, Rogue Hybrid turut dilengkapi sistem pacuan semua roda e-4ORCE yang menggunakan dua motor elektrik.
Sistem itu menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 225hp serta mampu mengagihkan kuasa antara gandar hadapan dan belakang dengan lebih tepat untuk meningkatkan kestabilan serta kawalan ketika mengambil selekoh.
Ciri e-Pedal yang membolehkan pemandu memperlahankan dan memberhentikan kenderaan hanya dengan melepaskan pedal pendikit turut dikekalkan.
Ia dipadankan dengan fungsi “smooth stop” yang membantu memberhentikan kenderaan dengan lebih lancar.
Dari segi reka bentuk, model baharu ini dikatakan mengangkat tema “Refined and Tough”, menampilkan imej lebih tegap dan lebar berbanding generasi semasa. Walaupun bentuk sebenar masih disembunyikan di sebalik penyamaran, reka bentuk Rogue Hybrid yang diperlihatkan di Amerika memberi gambaran awal mengenai hala tuju baharu X-Trail.
Bahagian kabin juga dijangka menerima peningkatan ketara. Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk skrin sentuh 12.3-inci sebagai standard, manakala varian lebih tinggi bakal menerima paparan digital berkembar bersaiz 14.3-inci.
Sistem infotainmen baharu itu menyokong Google Maps, Google Play serta integrasi pembantu pintar Google Gemini.
Pada masa sama, sistem bantuan pemanduan ProPILOT turut dipertingkatkan menerusi penggunaan kamera, radar gelombang milimeter dan perisian terkini, termasuk fungsi pemanduan bebas tangan dalam kesesakan trafik serta bantuan pertukaran lorong.
Sebagai SUV keluarga, model ini turut mengekalkan ciri praktikal seperti pintu belakang yang boleh dibuka hampir 90 darjah serta tempat duduk dengan fungsi pengudaraan.
Walaupun Nissan belum mengumumkan jadual pelancaran rasmi untuk Jepun, kemunculan prototaip stereng kanan di jalan raya memberi petunjuk bahawa X-Trail generasi baharu mungkin lebih hampir kepada realiti berbanding jangkaan sebelum ini.



