OLIVER SOLBERG AKAN MEMANDU TOYOTA GR YARIS RALLY2 MUSIM HADAPAN
Akhirnya telah disahkan bahawa pemandu muda rali berasal dari Sweden, Oliver Solberg akan kekal beraksi dalam kelas WRC2 untuk musim FIA World Rally Championship (WRC) 2025. Oliver Solberg akan bersama pasukan baharu, Prinsport Racing dan akan memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2.
Perkembangan terbaharu untuk pemandu berusia 23 tahun itu sudah tentu cukup mengujakan beliau untuk memandu jentera baharu bersama pasukan baharu.
“Prinsport adalah sebuah pasukan yang professional dan berjaya. Ramai yang saya kenal dari pasukan ini untuk musim sebelumbya dan saya yakin untuk bersama mereka kini. Sudah tentu kita semua mengetahui tentang jentera Toyota GR Yaris Rally2, ianya cukup menakjubkan apabila jentera ini mula membuat debut pertama kali 11 bulan yang lalu”, ujar Oliver Solberg.
“Saya akan dapat mengetahui tentangnya dengan lebih lanjut setelah berpeluang unutk mengujinya kelak tidak lama lagi tetapi saya fikir semua orang menghargai akan pembangunan dan hasil input daripada Toyota Gazoo Racing”, tambahnya lagi.
Untuk musim WRC 2025, sudah semestinya Oliver Solberg menyasarkan kejuaraan WRC2 setelah kecewa sekali lagi untuk musim ini. Kejuaraan WRC2 musim berjaya diraih oleh Sami Pajari dengan hanya kelebihan 3 mata sahaja yang memisahkan beliau dengan Oliver Solberg.
Untuk rekod, Sami Pajari juga musim ini beraksi bersama pasukan Prinsport dengan memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2 untuk muncul juara WRC2 musim ini.
Pun begitu, sebetulnya Oliver Solberg tidaklah mudah untuk meninggalkan pasukan Toksport dan juga jentera Skoda Fabia RS Rally2 setelah dua musim beraksi bersama mereka.
Bagi menebus kehampaan musim ini, Oliver Solberg menyasarkan sebanyak mungkin untuk memenangi perlumbaan WRC2 musim ini sekali gus mencapai hasrat tahta kejuaraan WRC2.
Menurut Prinsipal Prinsport Eero Räikkönen berkata, “Kami teruja dan mengalukan kedatangan Oliver Solberg ke pasukan dan menantikan masa depan yang cemerlang. Kami yakin akan bakat Oliver Solberg dan Elliot Edmondson akan dapat memberikan sesuatu yang mengujakan di dalam sukan ini dan kami mengharapkan lebih banyak kejayaan bersama”.
Yang pasti, jentera livery Toyota GR Yaris Rally2 yang bakal dipandu Oliver Solberg musim hadapan pastinya menarik apabila membabitkan penajaan peribadi Monster Energy.
BACA : OLIVER SOLBERG AKAN KEKAL BERAKSI DI WRC2 BERSAMA SKODA SEMUSIM LAGI