Buletin

SAH! OLIVER SOLBERG DAN DANI SORDO BAKAL BERKONGSI JENTERA KETIGA UNTUK PASUKAN HYUNDAI BAGI MUSIM WRC 2022

Selepas dua pasukan, Toyota Gazoo dan M-Sport Ford mengumumkan pemandu baharu untuk kempen WRC musim 2022, kini giliran pasukan Hyundai Shell Mobis pula untuk melakukan perkara yang sama. Terkini, pemandu muda Oliver Solberg yang membuat kemunculan di dalam kelas premier WRC secara khas telah disahkan bakal memandu jentera ketiga hibrid i20 N WRC Rally1.

Oliver Solberg yang berusia 20 tahun itu bakal memandu jentera ketiga secara bergilir dengan seorang lagi pemandu separuh masa Dani Sordo. Dani Sordo, 38 tahun telah pun bersama pasukan Hyundai semenjak 2014 lagi, ketika pembabitan semula Hyundai dalam WRC. Dani Sordo pernah memenangi dua perlumbaan rali serta 13 kemenangan podium bersama pengeluar dari Korea ini, menjadikan beliau seorang yang cukup arif dan jentera Hyundai.

Sementara itu, kemasukan Oliver Solberg berikutan kekosongan yang ditinggalkan oleh Craig Breen yang menyertai pasukan M-Sport Ford sebelumnya. Mungkin ada yang menganggap bahawa kemasukan Oliver Solberg hanyalah sebagai tangkap muat sahaja, tetapi berdasarkan prestasi sewaktu memandu di Rali Finland beliau berupaya mencatat keputusan yang baik berada di tempat ketujuh keseluruhan walaupun pertama kali memandu jentera WRC di permukaan bersalji.

Dan ketika diberi peluang untuk beraksi sekali lagi di Rali Sepanyol, Oliver Solberg sekali lagi berada di kedudukan ketujuh keseluruhan. Begitu juga ketika beliau beraksi di kelas WRC2 memandu jentera i20 R5 / i20 N Rally2 sebelum ini. Beliau berjaya menunjukkan kepantasan yang sepatutnya bagi seorang pemandu rali.

Tentang perkongsian jentera ketiga rali ini sebeanrnya sudah menjadi polisi buat pasukan Hyundai serta Prinsipal Andrea Adamo. Walaupun tidak mendedahkan di manakah masing – masing bakal beraksi, namun yang jelas Andrea Adamo mahukan penglibatan terus Dani Sordo dalam pasukan walaupun jentera ketiga dipandu oleh Oliver Solberg. Sudah tentu pengalaman luas Dani Sordo akan terus ditagih bagi membantu pasukan Hyundai bagi musim hadapan.

Terdahulu, pasukan Hyundai terlebih dahulu mengesahkan untuk mengekalkan duo Thierry Neuville dan juga Ott Tanak bagi mengharungi musim serba baharu WRC 2022. Kiranya ini merupakan gandingan yang diharapkan untuk membantu pasukan serta pemandunya memenangi kejuaraan WRC kelak.

BACA : CRAIG BREEN SAHIH BERTUKAR KE PASUKAN M-SPORT FORD

BACA : TOYOTA GAZOO RACING UMUM BARISAN PEMANDU UNTUK MUSIM 2022

Google ads

B K

Back to top button