OLIVER SOLBERG AKAN KEKAL BERAKSI DI WRC2 BERSAMA SKODA SEMUSIM LAGI
Teka teki mengenai nasib dan perancangan pemandu muda, Oliver Solberg dalam perlumbaan rali FIA World Rally Championship (WRC) tahun hadapan akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan akan kekal berlumba dalam kelas WRC2 semusim lagi bersama jentera Skoda Fabia RS Rally2.
Pemenang dua kali perlumbaan WRC2 musim 2003 ini tampaknya akan kekal bersama pengeluar kenderaan dari Republik Czech ini buat kali kedua berturut sekali gus mencabar untuk merebut kejuaraan WRC2.
Walau pun kempen WRC2 Oliver Solberg bagi musim 2023 dilihat agak baik dengan kepantasan yang dimiliki namun insiden masalah dengan sistem suspensi di Sardinia dan Estonia serta masalah dengan pam bahan api di Greece mengakibatkan beliau terkeluar daripada persaingan kejuaraan WRC2 musim ini.
“Kejuaraan WRC2 seharusnya menjadi sasaran utama. Skoda telah meraih banyak kemenangan serta kejuaraan. Saya mahukannya pada tahun hadapan. Ianya menakjubkan untuk saya dapat bekerjasama dengan syarikat dan pasukan seperti Skoda Motorsport”, ujar pemandu berusia 22 tahun itu.
Walaupun program perlumbaan Oliver Solberg belum lagi disahkan untuk kempen musim hadapan tetapi adalah dijangka beliau akan beraksi dalam perlumbaan pembukaan di Rallye Monte-Carlo pada bulan hadapan.
“Sejujurnya, saya tidak fikir banyak yang akan berubah daripada apa yang kami lihat tahun lepas dari segi pengendalian kereta Saya berharap saya dapat melakukan beberapa lagi ujian dan pembangunan bersama Škoda yang pastinya bagus. Pada asasnya, saya tidak mahu keluar dari Fabia sebaik sahaja saya masuk ke dalamnya!”, tambah Oliver Solberg.
Ketua Škoda Motorsport Michal Hrabánek berkata: “Kami sangat gembira untuk meneruskan hubungan kami dengan Oliver dan Elliott. Kami melihat kepantasan yang hebat daripada mereka musim ini dan saya pasti ini akan berlaku pada 2024”.
“Memenangi WRC2 musim adalah salah satu demonstrasi prestasi yang konsisten terhadap model Skoda Fabia RS Rally2. Kehadiran Oliver bersama kami pada tahun hadapan meletakkan kami dalam kedudukan yang kukuh untuk meneruskan kisah kemenangan ini.”
Untuk musim hadapan, Oliver Solberg sekali lagi akan berpasangan dengan Elliott Edmondson selaku Juruarah dan juga bersama penaja peribadi beliau minuman tenaga Monster Energy.
BACA : WRC2 – OLIVER SOLBERG MENANG DENGAN BERGAYA UNTUK AKSI TERAKHIR DI RALLY CHILE
BACA : OLIVER SOLBERG CEMERLANG DI RALLY SWEDEN DALAM AKSI WRC2