Pandu Uji

PANDU UJI: HYUNDAI SANTA FE CALLIGRAPHY 2.5T – NAK TAMPIL BERBEZA, INI PALING SESUAI!

Kalau anda jenis suka menilai sesuatu dari luaran sahaja, Hyundai Santa Fe Calligraphy akan buat anda berfikir sekejap. Bentuknya macam peti sejuk dua pintu, tapi bila dah tengok lama-lama, ada sesuatu yang sebenarnya menarik perhatian. 

Mungkin sebab muka depannya boleh buat sesiapa sahaja akan ke tepi apabila meluncur laju di lebuh raya. Mungkin juga sebab ia bukan lagi SUV dengan reka bentuk konvensional yang kita kenal satu ketika dahulu.

Baru-baru ini, kami berpeluang memandu uji Santa Fe Calligraphy 2.5T dari Desaru ke  Kuala Lumpur. Ya, Desaru, satu lokasi agak jauh dan cukup sesuai untuk menguji SUV macam ini sebab ada highway panjang, jalan kampung, selekoh kecil dan sedikit off-road kalau nak cari port ambil gambar feeling-feeling adventure. 

REKA BENTUK: MEMANG ADA GAYA

Hyundai nampaknya macam dah berhenti untuk jadi sama macam orang orang lain. Mereka dah sampai tahap, “kalau kau suka, bagus. Kalau tak suka, kau tetap akan tengok.” Hasilnya, reka bentuk Santa Fe baharu ini ‘keras’, berkotak, dan berani. Tapi peliknya, ia menjadi.

Dari depan, grill besar tu terus sambung dengan lampu berbentuk ‘H’, tanda identiti baharu Hyundai. Di jalan, kereta ni nampak sangat berbeza dari mana-mana SUV dari China, Jepun, mahu pun Eropah. Kalau tengok dari arah belakang pun sama dengan lampu berbentuk panjang, tulisan SANTA FE besar-besar dan sudut-sudut badan yang tajam.

Apa yang pasti, rekaan bahagian belakang yang tidak konvensional itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Ada yang kata buruk, tetapi ramai juga yang suka dengan rekaan ini. Unik dan lain daripada yang lain.  

Saiz dia pun bukan kecil, lebih panjang dan lebar berbanding generasi lama, dengan rim 20 inci yang nampak padat mengisi ruang fender. Bila berhenti di R&R Pagoh, ramai yang menoleh. Ada yang tanya, “Ini Land Rover ke?” Saya cuma senyum. “Bukan, ni Hyundai boss… tapi ada gaya kan?”

DALAMAN: MEWAH & LUAS

Masuk saja ke kabin, terus terasa perubahan besar. Kita dah biasa tengok SUV Korea cantik, tapi yang ni lain macam. Kemasan Nappa leather, papan pemuka dengan paparan dua skrin besar, tuil gear pada kolum stereng, warna dalaman dan tempat duduk yang selesa, terutama captain seats membuatkan anda tidak kisah untuk mengharung perjalanan yang lama.

Suasana dalam kabin pun cukup senyap, tak banyak bunyi angin atau tayar, walaupun memecut laju sepanjang lebuh raya PLUS. Secara tak sedar, kenderaan Hyundai sebenarnya dah sampai ke tahap premium sebenar. Semua benda ada: pengecas tanpa wayar, port USB-C di setiap baris tempat duduk, sunroof besar dan sistem pendingin hawa yang efisien.

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, saya sempat mencuba beberapa mod pemanduan. Apabila guna mode “Comfort”, suspensinya jadi lebih lembut, tetapi tidak lah sampai penumpang belakang rasa beralun.

Apabila tukar ke “Sport” mode pula, anda akan rasa tujahan kuasa daripada enjin lebih instant dan sepeti tidak habis-habis. Pengendalian pun lebih sporty dengan stereng rasa sedikit berat dan suspensi ditala menjadi lebih keras. 

ENJIN 2.5T: BUNYI SEDAP, KUASA LAGI SEDAP

Santa Fe Calligraphy menggunakan khidmat enjin 2.5 liter turbo (T-GDi) berkuasa 281 PS dan tork setinggi 422Nm tork yang digandingkan dengan kotak gear 8-kelajuan DCT serta pacuan semua roda HTRAC. Dalam bahasa mudah: kuasa banyak, gear cepat, dan cengkaman kuat.

Setiap kali keluar dari tol, saya tekan pedal minyak separuh sahaja, tetapi SUV ini seakan-akan terus terbang. 0–100 km/j? Rasanya bawah 7 saat pun boleh dapat. Apa yang best, tiada senggukan ketara apabila gear ditukar. Laju dan refine sahaja. 

Semua dah boleh agak kalau kotak gear DCT, biasanya sedikit kurang selesa ketika merangkak dalam jem. Tetapi kuasa jentera ini masih mudah dijangka dan tidak ada gegaran atau sebagainya. Sistem HTRAC pula melaksanakan tugas dengan baik semasa mengambil selekoh, tayar tak menjerit, badan pun kekal stabil. Senang cakap, Hyundai nampaknya dah pandai imbangkan di antara dua aspek utama iaitu kuasa dan keselesaan.

PENGENDALIAN: BESAR TAPI TAK KASAR

Tak dapat dinafikan bahawa Santa Fe Calligraphy ialah sebuah SUV yang besar. Biarpun begitu, apabila dah memandu, anda akan terkejut. Sterengnya ringan masa perlahan, tapi jadi berat bila laju. Masuk selekoh pun yakin.

Kami lalu jalan berliku dekat kawasan ladang kelapa sawit ketika hendak keluar dari Desaru Coast dan SUV ni tak rasa goyang pun. Casisnya kukuh, suspensi jenis multilink belakang banyak membantu banyak untuk memberi lebih kestabilan.

Suspensi depan pun Hyundai dah ubahsuai untuk pasaran Asia, tak terlalu keras. Bila langgar bonggol, ada sedikit ‘thud’, tapi tak sampai rasa melantun. Kalau bawa penumpang penuh, SUV ni masih maintain tenang.

Lagi satu perkara yang perlu saya tegaskan ialah walaupun Santa Fe Caligraphy ni besar, nisbah pusingan atau turning radius tidaklah keterlaluan. Nak masuk parkir pun senang. Apatah lagi selepad diibantu oleh kamera 360 darjah, lengkap dengan pandangan 3D.

Perjalanan dari Desaru ke Kuala Lumpur Desaru tidaklah dekat. Tetapi Santa Fe berjaya membuatkan semua tu terasa selesa dan menyeronokkan. Ciri Cruise control adaptif sangat membantu dan refine. Apabila kereta depan brek, Santa Fe pun brek dengan perlahan. Tak terkejut langsung. Kalau aktifkan ciri “Lane Centering” pula, anda boleh lepaskan stereng beberapa saat untuk SUV ini kekal dalam lorong. Tapi jangan lama sangat, nanti dia marah pula.

Kalau nak cerita pasal ciri keselamatan, memang lengkap. Ada 10 beg udara, brek kecemasan automatik, pemantauan titik buta, amaran lintasan belakang, bantuan stereng kecemasan, dan sistem kamera surround view yang memang antara terbaik dalam kelasnya. Santa Fe Calligraphy juga ada fungsi Remote Smart Parking ya, anda boleh parkir keluar masuk guna kunci.

Sepanjang perjalanan, kami dapat sekitar 10.4 liter/100 km. Untuk SUV 2.5 T dengan sistem pacuan AWD — itu angka yang patut dipuji. Tangki penuh (67 liter) boleh bawa anda hampir 600 km kalau pandu secara santai lah. Harga? Bermula RM270,000 seunit. Memang bukan murah, tapi bila banding dengan kualiti binaan, teknologi dan kuasa, nilainya jelas terasa.

KEKURANGAN? ADA, TAPI TAK SERIUS SANGAT

Mana ada kereta yang sempurna, kan? Jadi, kita jujur sikit.

  1. Saiz besar — senang atas highway, tapi di bandar KL boleh rasa lebar sangat bila parkir.
  2. Gear DCT masih ada sedikit lag kalau mula bergerak cepat-cepat, tapi lama-kelamaan anda akan biasa dengan karekternya.
  3. Harga premium — bagi kebanyakan pembeli, harga RM270,000 tu dah masuk wilayah SUV jenama Eropah. Tapi kalau nak baru dan jaminan panjang, Hyundai bagi ketenangan fikiran.

KESIMPULAN: SUV KELUARGA, JIWA PEMANDU

Santa Fe Calligraphy bukan sekadar SUV keluarga besar. Ia lebih daripada itu. Ia macam seorang bapa berumur 40-an yang pakai baju linen putih, pandu dengan tenang tapi bila perlu, dia boleh potong semua orang atas highway.

Hyundai nampaknya dah faham apa maksud karisma. SUV ni bukan untuk pemandu yang nak menunjuk, tapi untuk mereka yang tahu nilai sebenar keselesaan dan kejuruteraan moden.

Jadi, kalau anda tengah mencari SUV tiga baris yang tak sekadar cantik tapi betul-betul sedap dipandu, inilah dia. Tapi hati-hati, sebab bila dah rasa Calligraphy, SUV lain terus nampak biasa.

🛞 HYUNDAI SANTA FE CALLIGRAPHY 2.5T (2025)
Harga anggaran: RM 270,000
Enjin: 2.5L turbo, 281 PS, 422 Nm
Transmisi: 8-kelajuan DCT, AWD (HTRAC)
Tempat duduk: 6
Harga: Bermula RM270,000

GALERI

Google ads
Back to top button