
HYUNDAI MOTOR UMUM KEPUTUSAN KEWANGAN SUKU KEDUA 2025 – CATAT REKOD PENDAPATAN TERTINGGI
Hyundai Motor Company telah mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku kedua tahun 2025, mencatatkan pendapatan suku tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat.
Bagi tempoh April hingga Jun 2025, pendapatan Hyundai meningkat sebanyak 7.3 peratus berbanding tahun lalu kepada KRW 48.29 trilion (anggaran RM173.6 bilion).
Namun begitu, keuntungan operasi mencatatkan penurunan 15.8 peratus kepada KRW 3.6 trilion (anggaran RM12.9 bilion), bersamaan margin keuntungan operasi sebanyak 7.5 peratus.
Penurunan ini disebabkan oleh pemberian insentif yang lebih tinggi berikutan persaingan industri semakin sengit serta ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Keuntungan bersih syarikat (termasuk kepentingan bukan kawalan) turut menyusut sebanyak 22.1 peratus kepada KRW 3.25 trilion (anggaran RM11.7 bilion).
Dari segi jualan, Hyundai menjual sebanyak 1,065,836 unit kenderaan di seluruh dunia sepanjang suku kedua, menunjukkan peningkatan kecil sebanyak 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pasaran luar Korea mencatatkan kenaikan jualan 0.7 peratus kepada 877,296 unit, dipacu oleh permintaan kukuh di Amerika Utara yang menyaksikan peningkatan 3.3 peratus tahun ke tahun.
Antara model yang menyumbang kepada prestasi ini termasuk SUV TUCSON dan SANTA FE serta sedan ELANTRA (dikenali sebagai AVANTE di beberapa pasaran).
Pasaran domestik Korea turut menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan jualan 1.5 peratus kepada 188,540 unit, dipengaruhi oleh pelancaran model baharu seperti SUV PALISADE dan SUV elektrik IONIQ 9.
Satu lagi sorotan utama ialah pertumbuhan ketara dalam jualan model elektrifikasi, yang melonjak 36.4 peratus kepada 262,126 unit secara global.
Model hibrid menjadi penyumbang utama, dengan peningkatan jualan 38.5 peratus kepada 168,703 unit, angka tertinggi setakat ini. Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV), terutamanya di Eropah, turut membantu melonjakkan angka ini.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada pemegang saham, Hyundai Motor turut mengumumkan dividen suku tahunan sebanyak KRW 2,500 (anggaran RM9) sesaham bagi suku kedua.
Ini selaras dengan dasar pembayaran dividen sekurang-kurangnya 25 peratus daripada keuntungan bersih disatukan yang boleh diagihkan.
Meskipun berdepan cabaran daripada ketidaktentuan pasaran global dan tekanan di pasaran membangun, Hyundai Motor menegaskan komitmennya untuk mengekalkan momentum pertumbuhan sepanjang separuh kedua tahun ini.
Syarikat turut menyatakan bahawa ia akan terus menilai unjuran keuntungan tahunannya dan melaraskan sasaran secara fleksibel mengikut keadaan pasaran global, sambil terus memperkukuh daya saing jangka panjangnya.
- BACA: REDLINE FITNESS GAMES BY NISSAN MENGGEGAR MALAYSIA UNTUK KALI KETIGA
- BACA: NISSAN X-TRAIL E-POWER E-4ORCE KINI DI INDONESIA, DARI RM205 RIBU!
- BACA: INDUSTRI AUTOMOTIF NEGARA PADA 2H DIJANGKA PERLAHAN, P2 TERUS KEBAL
- BACA: MITSUBISHI EK X DAN EK WAGON 2025 JEPUN: PERUBAHAN KECIL, DARI RM42 RIBU







