Buletin

PDRM BAKAL TERIMA 175 UNIT 4X4, 16 DRON BERKUASA TINGGI

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima 16 dron berkuasa tinggi yang diluluskan kerajaan pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan sempadan seluruh negara terutama di kawasan tidak berpagar.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kawasan sempadan tidak berpagar itu adalah sejauh 44.55 kilometer yang digunakan penyeludup melalui lorong tikus ketika melakukan jenayah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dron yang bakal diperoleh nanti mampu terbang di udara lebih daripada empat jam dan akan dikawal Pasukan Gerakan Udara (PGU).

“Sebanyak RM48 juta diperuntukkan kerajaan menerusi RMKe-12 Rolling Plan Pertama (RT1) melalui proses tender Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perolehan dron ini.

“Kita harap dengan adanya dron ini boleh membantu meningkatkan operasi dan tahap keselamatan di kawasan sempadan terutama yang tidak berpagar, bagi mengekang aktiviti jenayah,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, sebanyak 175 kenderaan pacuan empat roda (4×4) juga akan diterima PDRM dalam masa terdekat, sekali gus membantu meningkatkan tahap operasi pihaknya di seluruh negara.

Sementara itu, anggota risik yang bertugas di kawasan sempadan akan dilengkapi ‘inner bullet proof vest’ sebanyak 1,000 set bagi memberikan perlindungan keselamatan kepada mereka.

Menurutnya, kerajaan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi pakaian itu dan anggota risik dinasihat terus meningkatkan tahap operasi di kawasan sempadan bagi memperoleh maklumat penting.

“Kumpulan risik kena kuat untuk kita kekang aktiviti jenayah di sempadan,” katanya yang turut membuat tinjauan di sempadan Kedah dan Perlis, semalam. – BERNAMA

Google ads
Back to top button