
POLESTAR 2 BST EDITION 270 – EV PRESTASI TINGGI EDISI TERHAD UNTUK CHINA, EROPAH, USA
Polestar baharu sahaja melancarkan kejutan baharu bagi model EV Polestar 2, di mana ia kini hadir dalam varian berprestasi tinggi yang halal digunakan atas jalan raya – Polestar 2 BST Edition 270.
Unit trenkuasa asal Polestar 2 dengan motor elektrik berkembar itu telah pun ditala semula bagi menghasilkan kuasa setinggi 476 kuasa kuda dan 680 Nm.

Menerusi model ini, Polestar turut menjanjikan dinamik pemanduan yang lebih sporti disamping tahap responsif yang dipertingkatkan dengan memasang peredam boleh laras dua cara Ohlins di mana tabung larasan tambahan boleh didapati di bahagian bawah hud.
Selain itu, terdapat bar topang depan serba baharu, serta spring 20 peratus lebih tegar yang mampu merendahkan ketinggian EV ini sebanyak 25 mm.
Tidak ketinggalan, rim aloi 21 inci berwarna hitam yang dibaluti dengan tayar Pirelli P Zero 245/35 yang dibangunkan khas untuk model edisi terhad ini.

Sistem brek pula masih lagi mengekalkan tetapan Brembo dengan angkup empat omboh yang standard disertakan dari kilang.
Terdapat dua warna pilihan iaitu Thunder atau Snow dengan opsyen untuk pemasangan jalur grafik matte black, sementara ruang kabin pula mendapat kemasan warna Charcoal WeaveTech.
Difahamkan, hanya 270 unit sahaja Polestar 2 BST Edition 270 yang akan diproduksikan untuk pasaran China, Eropah dan Amerika Syarikat, dengan harga jualan bermula dari $75,500 (RM331,143).











