CANDELA HASILKAN BOT ELEKTRIK GUNA TRENKUASA POLESTAR 2
Sebuah syarikat Sweden, Candela memperlihatkan model bot berkuasa elektrik C-8 yang menggunakan teknologi trenkuasa motor elektrik tunggal daripada Polestar 2.
Dengan pek bateri berkapasiti 69 kWh, C-8 ini dijangka mampu mencapai jarak pelayaran sejauh 57 batu nautika (105.6 km) pada kelajuan 22 knot (41 km/j).
Ia membawakan sistem hidrofoil yang unik, di mana pada kawasan air yang cetek atau di pelabuhan, komponen tersebut diposisikan dekat dengan badan kapal sebagai satu bentuk perlindungan.
Apabila ia dipanjangkan, posisi bot akan berada di atas permukaan air di mana ia mampu mengurangkan kesan seretan dan meningkatkan tahap kecekapan operasi.
Candela C-8 bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Daycruiser, versi hardtop dan juga T-Top di mana ketiga-tiga varian menyediakan ruang tidur di bawah kokpit yang mampu memuatkan dua dewasa dan dua kanak-kanak.
Difahamkan, C-8 merupakan produk volum tinggi yang pertama dihasilkan oleh Candela. Mereka sebelum ini menghasilkan bot elektrik C-7 dengan jarak operasi sejauh 50 batu nautika, dan hanya 32 unit sahaja dihasilkan sepanjang tempoh produksi sehingga tahun 2021.
Untuk model C-8, Candela sudah pun menerima lebih 150 tempahan dan penghantaran hanya akan dibuat menjelang tahun 2024.