Buletin

TUN M KAGUM KECANGGIHAN EV POLESTAR 2. MAHU PROTON IKUT JEJAK KELUARKAN EV

DRB-Hicom baru-baru ini memperkenalkan sebuah kereta elektrik, Polestar 2 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menerusi satu hantaran Facebook Tun Dr. Mahathir Mohamad, “Saya difahamkan dengan sekali cas, ia mencukupi untuk guna kereta ini pada jarak tempuh sehingga 400 km.”

Polestar 2 ini hanya memerlukan kurang dua jam untuk pengecasan semula sehingga 100 peratus. Jika ia dicas menggunakan kuasa elektrik di rumah, ia akan mengambil masa selama sekitar 7 jam.

Namun, dengan adanya lebih 1,000 stesen di seluruh negara, tidak akan ada sebarang masalah untuk mengecas kenderaan itu di mana-mana sahaja.

“Di kebanyakan negara, kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta elektrik. Saya mendapati pada masa hadapan kenderaan sebegini menjadi pilihan kerana mengurangkan pencemaran.

“Namun harus kita ingat, meskipun kereta ini tidak mencemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara,” jelas beliau.

Tambah Tun Mahathir lagi, kereta elektrik masih lagi belum sampai ke tahap bebas pencemaran udara. Oleh itu, Tun Mahathir berpendapat mungkin di negara ini lebih bersedia menggunakan kereta hidrogen meskipun terdapat masalah lain yang perlu diuji serta diselesaikan.

Selepas melihat kecanggihan yang ada pada Polestar 2 yang merupakan salah satu jenama di bawah Geely Auto Group, Tun M turut berharap agar Proton mampu untuk menghasilkan kereta elektrik pada masa akan datang.

“Kereta ini tidak mempunyai ruang enjin yang besar, sebaliknya ia telah dijadikan sebagai ruang penyimpanan barang.

“Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, segala kawalan serta tetapan boleh dibuat dengan sentuhan di paparan skrin berbentuk ‘tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di papan pemuka seperti kereta biasa,” kata Tun Dr. Mahathir.

Polestar 2 didedahkan buat pertama kali pada Februari 2019. Ia dikuasakan oleh dua motor elektrik untuk pacuan semua roda. Versi terkini Polestar 2 mampu menghasilkan kuasa 469hp dan tork 680Nm. – Kosmo!

Google ads
Back to top button